Bekas staf Jabatan Agama NS mahu rampas kerusi Narathiwat

BANGKOK: Dengan slogan “tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncang dunia”, calon wanita Palang Pracharat bagi kerusi Parlimen kawasan 3 Wilayah Narathiwat, Tasneem Chettu mahu merampas kerusi kubu kuat Parti Demokrat menjelang pilihan raya umum Thailand.

Wanita berusia 46 tahun yang pernah bertugas di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan itu tidak gentar berdepan saingan sengit dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 24 Mac ini apabila bertemu calon dari parti Ruam Palang Prachat Thai dan Parti Prachachat yang mempunyai ramai penyokong di wilayah itu.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu ketika turun padang bertemu pengundi dan menghadiri ceramah mencuri tumpuan dalam kalangan penduduk tempatan dalam kempen pilihan raya.

“Kaum ibu harus memilih saya kerana parti Palang Pracharat akan memberi keutamaan kepada ibu-ibu hamil dan anak-anak sehingga mereka berusia 8 tahun,” katanya yang kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Rachapat Universiti Yala.

Berkelulusan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana dalam bidang pendidikan, Tasneem mahu menggunakan kepakaran beliau terus membantu penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam.

“Saya akan mengguna sifat seorang wanita untuk menawan hati dan jiwa pengundi, termasuk kaum bapa (lelaki)” katanya.

Beliau yakin polisi yang dibawa Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, calon perdana menteri Palang Pracharat akan memikat pengundi di wilayah bergolak itu.

Pada pilihan raya umum kali ini, di Selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam, terdapat 11 kerusi parlimen iaitu 4 masing-masing di Narathiwat dan Pattani dan 3 lagi di Yala.

Di Narathiwat, seramai 143 calon dari 43 parti akan bertanding di 4 kerusi parlimen manakala di Pattani, terdapat 139 calon dari 40 parti akan merebut 4 kerusi dan di Yala pula terdapat 103 calon dari 37 parti merebut 3 kerusi.

Ini merupakan pilihan raya umum pertama selepas rampasan kuasa tentera sejak 2014.

Dalam undang-undang pilihan raya baru Thailand, mana- mana individu dibenarkan menubuh parti politik dan bertanding dalam piliharaya umum pada kali ini. Lebih 100 parti yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini.