Bimbang ke tali gantung, wanita ditipu hampir RM1/2 juta

Seorang peniaga soya melakukan 7 transaksi melibatkan wang berjumlah RM476,000 selepas diberi jaminan terlepas hukuman gantung sampai mati oleh sindiket.

GEORGE TOWN: Seorang wanita di Sungai Ara, Bayan Lepas kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdayakan 1 sindiket yang didakwa dapat menyelamatkannya daripada hukuman gantung sampai mati.

Sindiket melibatkan seorang individu yang menyamar sebagai petugas polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan itu turut mendakwa wanita berumur 53 tahun itu ada 2 tunggakan bayaran di sebuah bank yang boleh diselesaikan dengan membayar kepada mereka.

“Kerana ketakutan, wanita yang merupakan penjual minuman soya itu melakukan 7 transaksi melibatkan wang berjumlah RM476,000 yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan oleh sindiket itu,” kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan hari ini.

Katanya mangsa mula dihubungi anggota sindiket itu pada Disember lepas dan ekoran terpedaya dengan sindiket itu, dia mengeluarkan wang simpanannya di Amanah Saham Bumiputera dan menggunakan wang hasil perniagaannya untuk diberikan kepada sindiket itu.

“Apabila anggota sindiket itu tidak lagi menghubunginya selepas pembayaran dibuat, mangsa mula merasai dirinya ditipu dan seterusnya membuat laporan polis semalam,” kata Anbalagan sambil menambah kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.