Boustead salah kalau Mat Sabu tak tipu, kata Najib

Kementah dalam kenyataan berkata penjualan Hotel Royale Bukit Bintang milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad belum muktamad.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri mendakwa Boustead Holdings Berhad sudah melakukan kesalahan kerana membuat pengumuman palsu kepada Bursa Malaysia, susulan penjelasan Kementerian Pertahanan mengenai penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang, Kuala Lumpur hari ini.

Datuk Seri Najib Razak mendakwa Boustead sudah buat pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia pada Selasa minggu lepas dan mengesahkan ia sudah menandatangani surat setuju terima daripada syarikat Singapura.

“Menteri Mohamad Sabu mungkin tidak tahu bahawa Bousted sudah membuat pengumuman rasmi,” katanya di Facebook, dan memuatkan pautan ke pengumuman rasmi tersebut di laman Bursa Malaysia.

“Wang deposit RM3.94 juta (2%) pun sudah masuk poket Boustead…jika Mohamad bukan penipu maka Boustead sudah melakukan kesalahan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Kementah berkata penjualan Hotel Royale Bukit Bintang yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad masih belum dimuktamadkan.

Pejabat Menteri Pertahanan berkata perkara itu masih dalam penilaian, tawaran daripada pembeli yang berminat sedang ditimbang dan keutamaan adalah kepada syarikat tempatan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan media yang menyebut hotel tersebut dijual pada harga RM197 juta selepas menerima tawaran daripada firma Singapura, Hotel Royal Ltd.