Debat bantu pengundi kenali calon, kata penganalisis

Prof Azizudin Sani berkata debat masih dibudayakan dalam politik tempatan.

SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik berkata parti-parti politik wajar menyahut peluang untuk berdebat semasa kempen pilihan raya kerana ia membantu pengundi mengenali calon-calon mereka.

Prof Mohd Azizudin Mohd Sani dari Univeristi Utara Malaysia (UUM) berkata parti-parti bertanding tidak wajar menolak peluang debat sebelum hari mengundi, mengingatkan pengundi patut diberi peluang untuk menilai calon-calon yang mahukan undi mereka.

“Walaupun partinya kita kenal, calonnya kita tidak kenal,” katanya dalam sesi soal jawab forum “Semenyih Pasca PRK: Janji Untuk Rakyat” di Dewan Karangkraf hari ini.

“Melalui debat itu, calon boleh menyuarakan pandangan dan juga manifesto masing-masing supaya rakyat sendiri boleh menilai sama ada mereka benar-benar boleh mewakili kawasan tersebut.”

Sebelum ini, media melaporkan calon Barisan Nasional (BN) di PRK Semenyih, Zakaria Hanafi dan calon Pakatan Harapan (PH) Mohammad Aiman Zainali menolak tawaran debat anjuran Bersih di Universiti Nottingham Malaysia yang sepatutnya diadakan 25 Februari lalu.

Bagaimanapun, hanya calon bebas, Kuan Chee Heng dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang menyahut tawaran itu, menyebabkan ia terpaksa dibatalkan.

Azizudin berkata mungkin calon tidak minat berdebat kerana pilihan raya kecil Semenyih hanyalah untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Kalau di peringkat presiden Umno atau peringkat Parlimen, ada debat,” katanya.

Azizudin menambah perdebatan nampaknya masih belum dibudayakan dalam politik tempatan.