Harga minyak takkan naik, penganalisis saran Putrajaya kaji semula bajet

Penganalisis menasihatkan Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan melaksanakan cukai tidak langsung yang lebih tersusun. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengkaji semula bajet tahunan memandangkan harga minyak terus berada di bawah paras AS$70 setong.

Ini susulan kenyataan Ketua Pegawai Pelaburan Serantau UBS, Kelvin Tay yang memberitahu CNBC dalam satu wawancara, Malaysia terlalu bergantung kepada minyak, susulan tindakan Putrajaya memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Katanya, paras harga AS$55 setong juga boleh membawa bencana kepada negara.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai bersetuju Malaysia terlalu bergantung kepada harga minyak, selepas pemansuhan GST dan kejatuhan harga minyak sawit.

Bagaimanapun, katanya, harga minyak mungkin tidak turun di bawah AS$60 setong disebabkan kawalan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum.

Beliau juga tidak menjangkakan harga minyak akan naik melebihi AS$70.

“Kerajaan perlu mengkaji semula bajet dan berbuat demikian setiap bulan.

“Kerajaan juga boleh rancang cara untuk meningkatkan pendapatan, tetapi ini perlu tunggu hingga bajet akan datang diumumkan.”

Katanya, keyakinan pelabur akan terjejas jika kerajaan memperkenalkan langkah baru sekarang.

Katanya, masalah kerajaan sekarang ialah mereka terperangkap dalam harapan rakyat menikmati kos sara hidup lebih rendah dan tekanan akibat kemerosotan ekonomi dengan pendapatan berkurangan akibat pemansuhan GST.

Adli Amirullah, ahli ekonomi dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi berkata, kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak kerana penurunan harga secara mengejut akan menjejaskan bajet kerajaan.

Untuk jangka panjang, beliau mencadangkan pelaksanaan cukai tidak langsung yang lebih tersusun serta skop cukai jualan dan perkhidmatan lebih luas.

Beliau menyifatkan pengenalan cukai digital ke atas perkhidmatan pada 2020 sebagai permulaan baik.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun mengingatkan Putrajaya, tanpa sumber pendapatan tambahan, kerajaan terpaksa memotong perbelanjaannya.

Beliau merujuk pengecilan perkhidmatan awam atau memastikan peruntukan sumber dan subsidi lebih cekap.

“Hampir 80% perbelanjaan digunakan untuk membayar gaji dan menanggung kos pentadbiran,” katanya kepada FMT.