Harga siling RON95 turun 12 sen kepada RM2.08 seliter

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan harga siling petrol RON95 diturunkan daripada RM2.20 kepada RM2.08 seliter, sejajar komitmen kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Kementerian itu berkata, Kabinet membuat keputusan itu dalam mesyuarat hari ini berdasarkan trend harga sebenar pasaran produk petroleum yang semakin meningkat ketika ini.

“Ini bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter, sungguhpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.

“Sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras tersebut, harga mingguan petrol RON95 akan berada di bawah paras RM2.08.

“Ini adalah inisiatif baru oleh kerajaan Pakatan Harapan demi melindungi kepentingan golongan B40 yang tidak pernah diamalkan kerajaan terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, harga RON95, RON97 dan diesel berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) akan terus diumumkan setiap minggu.

Bulan lalu, Putrajaya melaksanakan penetapan harga minyak secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga lebih cepat selaras penurunan harga minyak di pasaran dunia.

Demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga ketara apabila harga minyak dunia meningkat, harga siling RON95 dihadkan kepada RM2.20 seliter melalui pemberian subsidi.

Melalui kaedah mingguan ini, harga runcit produk petroleum akan diturunkan apabila harga minyak dunia turun, manakala harga RON95 dihadkan kepada RM2.20 seliter dan diesel RM2.18 seliter, apabila pasaran minyak mentah dunia mengalami kenaikan.

Had harga minyak ini akan dibatalkan apabila subsidi minyak bersasar dilaksanakan pertengahan tahun ini.