Jumlah pelancong turun tapi kuat berbelanja, kata menteri

Mohamaddin Ketapi sedang membentangkan Prestasi Pelancongan Malaysia 2018 kepada media hari ini.

PUTRAJAYA: Kemasukan pelancong asing ke Malaysia turun 116,105 orang atau 0.4% pada 2018 berbanding 2017.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berkata jumlah pelancong asing ke negara ini pada 2018 adalah 25,832,354 orang berbanding 25,948,459 pada 2017.

Penurunan itu bagaimanapun dapat diatasi dengan peningkatan jumlah perbelanjaan pelancong asing ketika berada di Malaysia.

“Industri pelancongan menyumbang RM84.1 bilion tahun lalu berbanding RM82.2 bilion yang diperoleh daripada perbelanjaan 25 juta pelancong pada 2018, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Walaupun terdapat sedikit penurunan bilangan pelancong, perbelanjaan dari segi perbelanjaan per kapita meningkat 2.9% atau RM3,257 manakala purata tempoh tinggal juga meningkat 0.8% malam atau 6.5 malam,” katanya ketika membentangkan laporan Prestasi Pelancongan Malaysia 2018 hari ini.

Menurut laporan tersebut, antara 10 negara pasaran tertinggi yang menjana pelancong ke Malaysia pada tahun lalu adalah Singapura dengan 10 juta orang, diikuti Indonesia (3.2 juta) dan China (2.9 juta).

Perbelanjaan membeli-belah mencatatkan kenaikan daripada 32.7% pada 2017 kepada 33.4% pada 2018 berbanding perbelanjaan penginapan yang sekadar 25.7% bagi 2018 berbanding 25.6% pada 2017.

Barangan kraftangan Malaysia merupakan produk popular dibeli oleh pelancong selain makanan tempatan.

Trend pelancong menggunakan pengangkutan udara pula meningkat 35.7% berbanding pengangkutan darat yang menurun 14.4% pada tahun lalu.