Kenapa jual saham GLC ketika harga pasaran rendah, Najib soal PH

Najib Razak berkata, kerajaan PH bertindak menukar GLC yang diklasifikasikan sebagai syarikat strategik kepada aset komersial untuk dijual.

PETALING JAYA: Najib Razak hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjual saham syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika pasaran Bursa Malaysia tidak baik sehingga menyebabkan syarikat pelaburan induk negara, Khazanah Nasional Berhad mengalami kerugian.

Bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan sepatutnya menjual saham GLC ketika pasaran Bursa Malaysia dalam keadaan baik.

Selain menjual saham IHH Healthcare Berhad (IHH) kepada syarikat Jepun November lalu, katanya, Khazanah turut menjual 63 juta saham CIMB Group Holdings Berhad pada harga RM364 juta atau RM5.78 sesaham, Disember lalu.

Beliau berkata, saham CIMB berada pada paras RM7.30 sesaham sebelum pilihan raya umum ke-14, tetapi harga itu menjunam selepas PH memenangi PRU14.

“Jika 63 juta saham itu dijual pada masa baik, di mana harganya RM7.30, kita boleh dapat RM460 juta.

“Tetapi, PH jual pula pada Disember lalu di mana harga saham rendah (RM5.78) dan hanya dapat RM364 juta – iaitu kekurangan RM86 juta.

“Jika mahu jual pun, jual pada masa harga saham tinggi di dalam pasaran Bursa yang baik.

“Mengapa terdesak nak jual pada masa Bursa Malaysia tidak baik dan harga pasaran rendah sehingga Khazanah perlu rugi?” soalnya dalam catatan Facebook hari ini.

Najib berkata, di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, Khazanah mengklasifikan GLC itu sebagai syarikat strategik negara, tetapi kerajaan PH bertindak menukarnya kepada aset komersial untuk dijual.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Khazanah akan menjual pegangan saham dalam syarikat telekomunikasi Axiata Group Berhad, UEM Edgenta Berhad dan UEM Sunrise Berhad tidak lama lagi.

November lalu, Khazanah menjual 1.4 bilion saham atau 16% pegangan ekuiti dalam IHH kepada Mitsui & Co Ltd pada harga RM8.42 bilion atau RM6 sesaham. Kini, pegangannya dalam kumpulan hospital Asia itu berkurangan kepada 26%.

Khazanah merupakan pemegang saham terbesar dalam UEM Edgenta dengan pegangan sebanyak 69.1% dan UEM Sunrise (66.1%).

Ia turut memiliki 27% saham dalam CIMB dan Axiata (36%).