Lelaki diarah jalani pemeriksaan mental selepas mengaku letak patung berhala di surau

Helmee Othman (tengah) mengaku bersalah di 2 Mahkamah Majistret berasingan di Klang, atas satu pertuduhan mencuri patung sembahan dan 2 pertuduhan mencemarkan Surau Sabilul Huda di Pelabuhan Klang minggu lalu. (Gambar Bernama)

KLANG: Seorang buruh, Helmee Othman diperintahkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan di Perak, walaupun dia mengaku bersalah di 2 Mahkamah Majistret berasingan di sini atas satu pertuduhan mencuri patung sembahan dan 2 pertuduhan mencemarkan sebuah surau di Pelabuhan Klang, minggu lalu.

Helmee, 38, mengaku bersalah di depan Majistret, Roslizi Sulaiman kerana mencuri patung sembahan dan mencemarkan Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah di Pelabuhan Klang, pada 4.15 petang 20 Februari lalu.

Manakala di depan Majistret, Muhammad ‘Azzam Abidin, dia mengaku bersalah mencemarkan surau sama pada 2.45 petang, 23 Februari lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua majistret memutuskan tidak selamat untuk menerima pengakuan bersalah tertuduh dan memerintahkan Helmee dihantar menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak selama sebulan.

Kedua-dua majistret menetapkan 27 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri.

Sejurus Helmee mengaku bersalah, peguamnya, Nur Aida Md Zainuddin memohon mahkamah menyemak tahap kewarasan dan akal tertuduh, sebelum menerima pengakuan bersalahnya.

“Mahkamah perlu semak terlebih dahulu tahap kewarasan dan akal tertuduh, memandangkan seorang yang waras dan normal tidak akan melakukan perbuatan melibatkan isu sensitif, iaitu kepercayaan agama.”

Bagi kesalahan mencemarkan surau, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Helmee juga didakwa mencuri patung sembahan milik Cheong Lin Chai, 51, di sebuah rumah di Pandamaran di sini, antara 4 petang hingga 9.30 malam 20 Februari lalu.

Kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Isnin lalu, media melaporkan seorang lelaki ditahan berhubung penemuan 3 patung berhala di surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli dilaporkan berkata, lelaki itu dipercayai mempunyai masalah mental “gila isim” (mengamalkan ajaran Islam menyimpang), selepas mengaku pernah belajar ilmu agama salah di negara jiran.