Malaysia minta India, Pakistan kawal diri selepas ketegangan memuncak

PUTRAJAYA: Malaysia hari ini meluahkan rasa bimbangnya terhadap ketegangan terbaru antara India dan Pakistan.

Kementerian Luar Negeri berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan rapat dan lama dengan kedua-dua negara, Malaysia meminta kedua-duanya agar sedaya-upaya “mengawal diri” serta mengadakan semula dialog dan rundingan.

“Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia juga mahukan satu keadaan yang aman dan stabil di peringkat antarabangsa,” demikian menurut kenyataan itu.

Susulan itu juga Wisma Putra menasihati rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan tidak perlu khususnya ke kawasan yang terkesan secara langsung dengan konflik tersebut.

Rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia sama ada di New Delhi atau Islamabad untuk pertanyaan lanjut.

Wisma Putra berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Islamabad akan terus memantau situasi serta berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Ketegangan di antara New Delhi dan Islamabad dengan kedua-duanya merupakan kuasa nuklear, semakin memuncak sejak serangan pengganas di Pulwana, India pada 14 Februari lalu yang membunuh lebih 40 orang serta mencederakan berdozen lagi.

Menurut laporan, kumpulan militan berpangkalan di Pakistan, Jaish-e-Mohammed, mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.