Menteri tarik semula peruntukan baik pulih dewan kerana akta pilihan raya

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammaddin Ketapi menarik semula peruntukan RM80,000 yang diumumkannya petang tadi bagi kerja penambahbaikan dewan serbaguna Dewan Haji Md Silin di Beranang.

Mohammaddin berkata, penarikan itu dibuat selepas menyedari tindakannya menyalahi akta ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan ketika ini merupakan tempoh berkempen bagi PRK DUN Semenyih.

“Saya ingin memohon maaf atas pengumuman yang saya buat semasa Majlis Perasmian Semarak Seni Kraf di Beranang, Semenyih petang tadi.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya menarik semula peruntukkan terbabit kerana menyedari ia menyalahi akta pilihanraya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammaddin berkata, sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian, beliau didatangi penduduk dan pengunjung pada majlis berkenaan yang menyuarakan cadangan supaya penambahbaikan dibuat di dewan berkenaan.

“Sesungguhnya saya tanpa niat mengganggu suasana berkempen PRK Semenyih yang sedang berlangsung,” katanya.

Portal Malaysiakini melaporkan, Mohammaddin memberikan peruntukan secara mengejut sebanyak RM80,000 untuk kerja baik pulih sebuah dewan serba guna yang sering digunakan untuk aktiviti sukan, majlis perkahwinan dan acara-acara rasmi di Beranang.

Beranang merupakan salah satu pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Semenyih dengan 972 orang pengundi.

Sebelum ini SPR menjelaskan program anjuran kerajaan yang berlangsung di Semenyih secara amnya tidak dianggap melanggar undang-undang pilihan raya selagi aktiviti itu tidak digunakan untuk mengumpan undi.

Bagaimanapun SPR menegaskan pemberian hadiah seperti hamper adalah satu kesalahan dan bercanggah dengan akta pilihan raya.