Nazri tak sedar PH bela hak Melayu, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin ketika memberi ceramah di Semenyih mengatakan parti komponen PH ada membuat perjanjian supaya hak orang Melayu terus dilindungi di samping membela kaum lain.

SEMENYIH: Presiden PPBM Muhyiddin Yassin menempelak kenyataan Nazri Aziz yang seolah-olah menggambarkan Pakatan Harapan langsung tidak membela hak orang Melayu di negara ini, mengatakan setiausaha agung Barisan Nasional itu tidak sedar mengenainya .

Beliau berkata, ramai yang mempersoalkan tindakan PH melantik individu bukan Melayu berkhidmat untuk kerajaan tanpa menilai perkara itu dengan lebih terperinci.

“Ramai kata PH sudah menjual hak orang Melayu dan tidak perjuangkan nasib Melayu sampai lantik peguam negara dan ketua hakim bukan Melayu, padahal soal pelantikan tersebut jelas tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Soal hak istimewa, kedudukan raja, agama dan bahasa terus dipelihara, ini komitmen PH. Nazri patut tahu kalau bercanggah kami akan diheret ke mahkamah tetapi dia tahu perkara ini adalah tidak benar,” katanya ketika berucap di Semenyih, malam tadi.

Muhyiddin juga menganggap pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan kerana beliau mempunyai kredibiliti sebagai menteri.

“Oang selalu persoal Lim Guan Eng, habis itu siapa lantik Najib Razak jadi menteri kewangan dahulu? Dia pun orang Melayu.

“Ini bukan soal perkauman tetapi lebih kepada sikap amanah yang ada pada diri mereka. Kita tidak mahu orang yang suka sapu bersih duit rakyat dilantik sebagai menteri, tetapi sebaliknya kita lantik orang yang mampu menguruskan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata Lim tidak mempunyai kuasa mutlak dalam Kementerian Kewangan, tidak seperti yang disangka oleh beberapa pihak.

“Apa salahnya Lim jadi menteri, dia tidak ada kuasa mutlak sebab segala keputusan memerlukan persetujuan daripada jemaah menteri dan perdana menteri sebelum ia dilaksanakan.

“Empat komponen parti PH pun ada membuat perjanjian atau kerjasama supaya hak orang Melayu terus dilindungi, di samping membela kaum-kaum lain dan agama lain,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengesahkan Nazri disiasat bawah Akta Hasutan kerana ucapan berbaur hasutan semasa berkempen di Semenyih.

Antaranya, beliau mempersoalkan pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan peguam negara, ketua hakim negara dan menteri kewangan, malah mengatakan mereka tidak boleh mengangkat sumpah dengan Al-Quran.

Nazri juga memberi amaran kepada orang bukan Melayu untuk tidak persoalkan hak keistimewaan Melayu, mengatakan orang bukan Melayu juga mempunyai keistimewaan iaitu sekolah aliran.

Namun, Nazri mempertahankan ucapannya dan mengatakan kenyataannya digunakan untuk memberi gambaran yang salah kepada rakyat terutamanya pengundi di Semenyih.