Pakar beri amaran suhu sehingga 40°C di beberapa lokasi di Malaysia

Pakar menasihati orang ramai berada di dalam rumah, minum banyak air dan melindungi kanak-kanak dari pendedahan langsung kepada matahari. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakar kaji cuaca memberi amaran berhubung kemarau melampau dan hujan lebat di negara ini akibat perubahan iklim global jika suhu dunia terus meningkat.

Fredolin Tangang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata cuaca panas dan kering sekarang yang dijangka berlangsung sehingga April, diikuti dengan hujan lebat pada Mei, akan bertambah buruk jika suhu global meningkat.

“Jika dunia tidak bertindak untuk mengurangkan pelepasan haba, suhu akan meningkat,” katanya kepada FMT.

Fredolin, yang mengetuai Pusat Pengajian Alam Sekitar dan Sumber Asli, berkata 4 fenomena semulajadi dan serentak bertanggungjawab terhadap cuaca kering ketika ini: El Nino, Ayunan Madden-Julian (MJO), musim kering tahunan ketika Monsun Barat Daya dan Equinox.

El Nino adalah corak iklim yang dikaitkan dengan pemanasan air di kawasan tengah dan barat di Lautan Pasifik pada garisan khatulistiwa. “Ini akan berterusan sehingga Mac atau April,” kata Fredolin.

Sementara itu, MJO adalah lintasan angin kering dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik.

Fredolin berkata ia bermula dengan lebihan lembapan yang menghasilkan hujan lebat, diikuti angin kering yang kini melanda negara.

Beliau berkata cuaca kering berkemungkinan akan berakhir pada Mac, sementara Equinox pada 20 Mac akan menyaksikan matahari tegak di atas garis khatulistiwa.

Keempat-empat elemen ini yang dapat dilihat di beberapa bahagian di Malaysia yang mencapai suhu 40°C, katanya, memberi amaran kepada radiasi solar yang kuat dan strok haba.

Pada 25 Feb, Jabatan Meteorologi atau MetMalaysia mengeluarkan amaran Tahap 1 selepas 10 kawasan mengalami suhu antara 35°C hingga 37°C selama 3 hari berturut-turut.

Amaran Tahap 2 akan dikeluarkan jika suhu melebihi 37°C selama 3 hari berturut-turut. Ini akan membolehkan agensi berkaitan mengambil tindakan kecemasan seperti menutup sekolah.

Jika cuaca kering bertambah buruk, dengan suhu melebihi 40°C selama 3 hari berturut-turut, MetMalaysia akan mengisytiharkan Tahap 3. Ini akan membuatkan perdana menteri mengisytiharkan keadaan darurat.

Fredolin mengesyorkan masyarakat berada di dalam rumah, minum banyak air dan melindungi kanak-kanak dari pendedahan langsung kepada matahari.

Pertubuhan Meteorologi Dunia PBB menyatakan suhu global mengalami kenaikan 3-5°C pada abad ini, jauh melampaui sasaran global untuk membataskan kenaikan kepada 2°C atau kurang.