Pakistan tembak jatuh jet India sehari selepas pengeboman Kashmir

ISLAMABAD/NEW DELHI: Pakistan menembak jatuh 2 pesawat pejuang India hari ini, kata jurucakap tentera Paskitan, sehari selepas pesawat India melakukan pengeboman dalam wilayah Pakistan pertama kali sejak perang 1971, mendorong negara-negara lain menggesa kedua-dua negara bersenjatan nuklear itu menahan diri.

Ketegangan meningkat sejak serangan bunuh diri oleh militan yang berpangkalan di Pakistan di wilayah Kashmir yang dikuasai India pada 14 Februari lalu, kejadian yang menyebabkan 40 polis separa tentera India maut, tetapi risiko konflik meruncing apabila India melancarkan pengeboman dari udara ke atas apa yang didakwa pangkalan latihan militan semalam.

Serangan menyasarkan militan Jaish-e-Mohammed, kumpulan yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan bunuh diri. Ketika India mendakwa ramai militan JeM terbunuh, pegawai kerajaan Pakistan berkata serangan udara India itu sudah gagal dan tiada orang terkorban atau cedera.

Tentera udara India memasuki ruang udara Pakistan hari ini selepas Pakistan melancarkan serangan udara di wilayah Kashmir yang dikuasai India, kata Mej Jen Asif Ghafoor, jurucakap tentera Pakistan.

“PAF menembak jatuh 2 pesawat India dalam ruang udara Paksitan,” katanya di Twitter.

Sebuah pesawat jatuh dalam sempadan India di Kashmir, sementara sebuah lagi jatuh dalam sempadan Pakistan, dan juruterbangnya sudah ditahan, tambahnya.

Jurucakap kementerian pertahanan India belum dapat dihubungi untuk memberikan komen.

Pegawai polis di wilayah Kashmir yang dikuasai India berkata 2 juruterbang India dan seorang orang awam terbunuh selepas sebuah pesawat tentera udaranya terhempas di Kashmir, tetapi tidak mengesahkan sama ada pesawat itu ditembak jatuh oleh tentera Pakistan.

Pegawai kerajaan India berkata 3 pesawat Pakistan juga memasuki ruang udara India sebelum dipintas dan dipaksa berpatah balik.

Tentera udara India mengarahkan lapangan terbang utama di Srinagar, Kashmir dan sekurang-kurangnya 3 lapangan terbang lain di negeri-negeri berjiran ditutup kerana 2 kejadian itu, kata pegawai kerajaan.

Pada Selasa, Pakistan mengebom 12 hingga 15 kawasan di sepanjang sempadan di Kashmir, kata jurucakap tentera India.

“Tentera darat India membalas dan serangan kami menyebabkan 5 pos musnah dan beberapa orang terbunuh atau cedera,” kata jurucakap itu.

Lima tentera India mengalami kecederaan kecil dalam pengeboman yang berakhir pada pagi tadi, tambahnya.

“Setakat ini tiada orang awam terbunuh atau cedera tetapi orang ramai panik,” kata Rahuv Yadav, timbalan pesuruhjaya daerah Poonch di mana pengeboman berlaku.

“Kami ada pelan pemindahan tersedia dan jika perlu kami akan pindahkan orang ramai ke kawasan yang lebih selamat,” katanya.

Pegawai kerajaan tempatan di sebelah Pakistan berkata sekurang-kurangnya 4 terbunuh dan 7 cedera, tetapi belum dipastikan sama ada mereka orang awam atau tentera.

India meneruskan operasi terhadap individu-individu yang disyaki militan di Kashmir, wilayah bergunung yang dituntut kedua-dua negara itu dan terbahagi dua.

Pasukan keselamatan hari ini membunuh 2 militan JeM dalam satu pertempuran, kata polis India.

Pakistan berjanji membalas serangan udara India semalam dan tahap keselamatan di serata India diperketatkan. Kedua-dua negara pernah berperang 3 kali sejak merdeka daripada penjajahan British pada 1947 dan hampir berperang pada 2002 selepas militan warga Pakistan menyerang Parlimen India.

Di Mumbai, ibu kota kewangan India yang pernah beberapa kali diserang militan, peningkatan tahap keselamatan di bandar itu dilihat begitu ketara.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo bercakap dengan menteri luar negeri India dan Pakistan dan menggesa mereka mengelakkan aktiviti ketenteraan susulan serangan udara pada Selasa.

“Kami mengalakkan India dan Pakistan menahan diri, dan elakkan daripada memelaratkan keadaan,” kata Pompeo dalam kenyataan hari ini.

“Saya juga mengalakkan kedua-dua menteri supaya mengutamakan perhubungan secara langsung dan mengelakkan aktiviti ketenteraan,” katanya.

China dan Kesatuan Eropah juga menggesa kedua-dua negara menahan diri.