Pendidik gesa Putrajaya pulih keyakinan ibu bapa pada sekolah kebangsaan

Sekolah aliran terbukti popular dalam kalangan ibu bapa.

PETALING JAYA: Seorang pendidik yang lantang menentang sistem sekolah pelbagai aliran menggesa kerajaan mengkaji mengapa ibu bapa menolak sekolah kebangsaan.

Prof Teo Kok Seong, seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata pusat-pusat persekolahan di rumah dan sekolah aliran yang bercambah di merata tempat tidak mempromosikan identiti negara dan kesatuan.

“Kebanggaan dan identiti sesebuah negara adalah pada sekolah kebangsaan, tapi ia tidak menjadi pilihan utama ibu bapa untuk hantar anak mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan berbincang dan keluarkan garis panduan untuk menyelesaikan aduan ibu bapa Melayu dan bukan Melayu terhadap sekolah kebangsaan.

Menjelaskan mengapa ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan, Teo berkata beberapa sekolah kebangsaan terlalu bersifat Islamik dan mutu pengajaran tidak memuaskan.

Beliau mendakwa anggota pentadbiran sekolah-sekolah itu juga dilantik berdasarkan kaum dan bukan merit.

Teo Kok Seong.

Teo berkata ibu bapa sebenarnya tidak peduli latar belakang kaum guru-guru. Apa yang mereka mahukan daripada guru adalah dedikasi dan mutu.

“Guru-guru mesti dipilih berdasarkan merit, bukan kaum,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan patut cuba mengubah persepsi ibu bapa yang merasakan sekolah-sekolah kebangsaan “terlalu Islamik”.

Sekiranya kementerian gagal menangani aduan ibu-bapa, Malaysia akan terus mempunyai sekolah pelbagai aliran, mengakibatkan murid-murid berinteraksi sesama kaum sendiri sahaja.

“Kita sudah memisahkan anak-anak kita berdasarkan kaum sejak kecil lagi. Ini adalah buruk untuk perpaduan kaum,” katanya.

Teo berkata kerajaan ambil langkah menjadikan sekolah kebangsaan pilihan pertama ibu bapa.

Setiap tahun, kira-kira 1 juta murid masuk darjah satu.

Malaysia mempunyai sekolah aliran Cina dan Tamil serta sekolah agama, pusat persekolahan di rumah, sekolah swasta serta antarabangsa.

Ramai ibu bapa gemar sekolah aliran kerana bahasa, identiti dan budaya komuniti tertentu diberi tumpuan.