Polis ambil keterangan hakim Hamid

Hamid Sultan Abu Backer. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Polis hari ini mengambil keterangan daripada Hamid Sultan Abu Backer, hakim Mahkamah Rayuan di sebalik afidavit menggemparkan yang mendedahkan salah laku beberapa hakim tidak dinamakan.

Peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdullah berkata, Hamid bagaimanapun enggan memberi maklumat kepada polis, sebaliknya bertegas hanya akan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang akan ditubuhkan.

“Hakim itu sedia mendedahkan semua perkara dalam afidavitnya kepada RCI,” Haniff beritahu FMT.

Beliau berkata, 2 pegawai polis dari Bukit Aman menemui Hamid di kamarnya hari ini kira-kira sejam, susulan satu laporan polis dibuat Pejabat Ketua Pendaftar pada 15 Februari lalu.

Haniff berkata, beliau tidak tanya pegawai polis terbabit, siasatan itu dijalankan di bawah akta apa.

Haniff dan seorang lagi peguam, Joy Wilson Appukuttan turut hadir dalam sesi bersama polis itu.

Katanya, Peguam Negara, Tommy Thomas kini patut menasihatkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menggantung siasatan mereka memandangkan RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat afidavit itu.

Beliau berkata, polis sedang mengambil tindakan terhadap laporan dibuat Pejabat Ketua Pendaftar kerana “banyak kandungan” dalam afidavit itu mencemarkan imej badan kehakiman.

Pada 18 Februari lalu, Hamid memberitahu sepasukan pegawai SPRM yang menemuinya di kamar, beliau sedia memberitahu semuanya hanya dalam prosiding RCI.

Dua hari kemudian, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI mengenai badan kehakiman.

Pada 14 Februari lalu, Hamid mengesahkan afidavit setebal 65 muka yang menyokong tindakan undang-undang oleh peguamSangeet Kaur Deo terhadap dakwaan kegagalan Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum untuk melengkapkan siasatan dalam 2 kes didakwa membabitkan campur tangan kehakiman.

Satu daripadanya ialah kes hasutan terhadap bapa Sangeet, mendiang Karpal Singh, sementara satu lagi kes membabitkan Hamid, yang mendakwa beliau ditegur seorang hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza 2 tahun lalu dalam kes penukaran agama sebelah pihak 3 anak guru tadika, M Indira Gandhi.

Pegawai khas ketua hakim negara, Mohd Aizuddin Zolkeply menerusi afidavit balasan terhadap saman pemula Sangeet, berkata siasatan dalaman ke atas kes Karpal digantung kerana siasatan polis sedang dijalankan dan rayuan belum selesai di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, siasatan ke atas kes Karpal tidak dapat dijalankan kerana 3 hakim Mahkamah Rayuan masih berkhidmat.

Dalam kes ke-2, Malanjum berkata, siasatan tidak boleh dijalankan kerana hakim terbabit sudah bersara.