Pulau buatan lebih untungkan pemaju daripada rakyat, kata kumpulan alam sekitar

Sahabat Alam Malaysia membantah projek tebus guna tanah di selatan Pulau Pinang berdekatan Pantai Jerejak.

GEORGE TOWN: Satu kumpulan alam sekitar hari ini mengkritik wawasan sebuah pemaju yang mahu Pulau Pinang menyaingi Singapura dan Dubai menerusi projek tebus guna tanah 3 pulau, mengatakan projek itu lebih banyak memberi manfaat kepada pemaju berbanding kepada rakyat.

Presiden Sahabat Alam Malaysia, SM Mohamed Idris berkata projek tebus guna tanah itu sangat mahal dan di luar kemampuan kebanyakan orang.

Beliau menambah projek tebus guna tanah itu membazir wang dan masa, dan juga menjejaskan alam sekitar dalam jangka masa panjang.

“Pemaju merepek,” katanya kepada pemberita di Bayan Lepas hari ini.

“Apabila kamu buat binaan di atas tanah tebus guna, hartanah itu akan jadi mahal. Bila orang tak beli hartanah kamu, kamu akan rugi dan tak mampu tanggung pinjaman.

“Ini masalah yang serius dan kita berdepan masalah yang besar. Kita tak perlu saingi Singapura, kita ada cara kita,” katanya.

Semalam, pemaju Gamuda membayangkan projek tebus guna tanah 3 pulau di selatan negeri itu akan memacu ekonomi negeri dan suatu hari nanti membolehkan Pulau Pinang menyaingi Marina Bay di Singapura.

Projek itu adalah untuk membiaya Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM4.6 juta yang merangkumi laluan kereta api, lebuhraya dan mod pengangkutan lain.

Idris berkata projek itu membazir wang kerana kerajaan persekutuan sudah menanggung liabiliti mencecah RM1 trilion.

Beliau menambah adalah kurang bijak sekiranya Putrajaya meminjamkan wang kepada Pulau Pinang untuk memulakan projek tebus guna tanah itu.

“Mengambil pinjaman lunak, dari dalam atau luar, akan menambah hutang kita,” katanya.

Beliau berkata projek tebus guna tanah itu akan menjejaskan perikanan, sambil memetik kajian impak alam sekitar menunjukkan nilai ikan di kawasan itu dianggarkan RM42.09 juta atau 12.4% daripada tangkapan ikan negeri itu pada 2015.

“Ikan-ikan boleh terhapus dan para nelayan akan hilang pekerjaan,” katanya.

“Ketua menteri berkata semua projek mesti menjaga kebajikan rakyat dan jika tidak, ia perlu difikirkan semula. Kami harap dia akan kaji semula projek itu,” kata Idris.