Tunjuk mana tanah kami, Orang Asli beritahu Perak

Orang Asli Kampung Tasik Cunex, Gerik mengadakan sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan di kawasan tanah adat dan penempatan mereka, baru-baru ini.

GERIK: Lebih 800 Orang Asli Temiar dari 6 kampung mahu kerajaan negeri Perak mengembalikan hak mereka untuk tinggal di perkampungan asal kaum itu.

Ia melibatkan Kampung Cenaweng, Kampung Cunex, Kampung Jemol, Kampung Laba, Kampung Sungai Leyep dan Kampung Kewa.

Wakil penduduk, Fauzi Bani berkata, jika kerajaan negeri mendakwa 6 kampung yang didiami Orang Asli Gerik bukan hak suku kaum itu, mereka sepatutnya perlu menunjukkan di mana kawasan sepatutnya masyarakat itu tinggal.

“Mereka (kerajaan dan pihak berkuasa) kata kawasan ini Orang Asli tidak ada hak, mereka kata semua tanah hak kerajaan negeri, sedangkan kita bukan sahaja Orang Asli, Melayu, Cina, India semua ada hak.

“Kami nak tanya kalau kami Orang Asli tidak ada hak di sini, sila tunjukkan di mana hak kami dan tanah kami atau tanah kami berada di Indonesia, di Thailand atau di Amerika Syarikat. Sedangkan kami ada hak, ada IC tapi kami tak diktiraf,” katanya kepada media yang menyertai lawatan bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) di perkampungan Orang Asli, Gerik.

Fauzi berkata, antara alasan pihak berkuasa tidak iktiraf kawasan mereka adalah kerana masyarakat itu keluar dari kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala Kuala Agam setelah dipindahkan pada 1978 berikutan darurat ketika itu.

“Setelah habis (darurat), kita semua balik ke tempat asal masing-masing.

“Namun, Jabatan Kemajuan Orang Asli bertindak tidak mengiktirafnya kerana ia di luar RPS tersebut yang berkeluasan 5,500 hektar,” katanya yang juga ahli jawatankuasa Jaringan Orang Asal SeMalaysia (Joas).

Timbalan Jaringan Kampung Orang Asli Negeri Perak
(JKOANP), Rahman Hasan pula berkata, punca lain Orang Asli keluar dari RPS kerana kerajaan pada waktu tidak menunaikan janji kepada Orang Asli.

“Kami kesal dengan Jakoa yang merancang pelan ekonomi kami, perancangan mereka tidak menentu, mereka kata dulu, kawasan ladang getah, kelapa sawit dan sebagainya yang diusaha Orang Asli akan diberi dividen bila projek berjaya, tapi sebaliknya berlaku.

“Orang Asli hanya buat kerja kosong. Sebab itu Orang Asli tidak puas hati dan mereka keluar dari tanah rancangan RPS,” katanya sambil memaklumkan rumah di RPS tidak disediakan bekalan air dan elektrik.

Katanya, Orang Asli juga turut ditawarkan pendapatan RM600 sebulan apabila menyertai RPS termasuk memiliki kebun getah selepas 20 tahun, sebaliknya tidak berlaku.

“Orang Asli keluar RPS bermula 1990 secara berperingkat kerana tidak sanggup duduk, ibarat macam dalam kandang dan tidak ada kebebasan.

“Sekarang yang buat kerja di RPS ialah orang Indonesia dan Bangladesh. Sudah hampir 10 tahun mereka buat kerja di sana dan ada yang kahwin dengan Orang Asli,” katanya.

Rahman berkata, susulan itu penduduk mengambil langkah melakukan pemetaan seluas 12,065.5 hektar merangkumi kawasan rayau iaitu Wilayah Tanah Adat Kampung Cunex.

“Sehingga kini, kerajaan masih belum iktiraf dan menuntut lagi keluasan yang mereka inginkan di Tanah Adat Orang Asli tanpa membuat surat Izin Maklumat Bebas Awal dan Terus (IMBT) kepada kami.

Pertahan khazanah hutan

Rahman berkata, tindakan masyarakat Orang Asli bangkit melakukan sekatan bukan semata-mata mahukan hak tanah adat tetapi ingin menjaga khazanah alam yang semakin terancam akibat pembalakan.

“Kami sayang hutan bukan sebab tanah adat sahaja, yang tanah ada pada kedudukan nombor 10, yang ada dalam itu gajah, siput, binatang, ada gua, ada penunggu, ada kampung bunian, ini kepercayaan kami.

“Hutan itu ibarat masjid bagi kami, kalau orang ceroboh mesti orang marah, sama juga kalau ceroboh hutan, tempat pemujaan kami.”

Rahman juga berkata masyarakat Orang Asli akan turun ke Kuala Lumpur untuk berjumpa Suhakam, perdana menteri dan juga Yang di-Pertuan Agong.