Warga emas mengaku tak bersalah hina nabi di Facebook

Timbalan pendakwa raya berkata, tindakan Wai Foo Sing memuat naik imej kartun menghina nabi ialah kesalahan serius dan akan memberi mesej salah kepada masyarakat mengenai pentadbiran kehakiman negara ini.

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menghina Nabi Muhammad melalui imej kartun yang dimuat naik ke Facebooknya.

Bagi tuduhan pertama, Wai Foo Sing, 68, didakwa memuat naik imej itu melalui akaun Facebook bernama “Foo Sing Wai”.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun.

Bagi pertuduhan ke-2 di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan multimedia 1998, dia didakwa memuat naik kandungan jelik melalui Facebooknya, dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 5 petang, 17 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal mencadangkan jaminan RM30,000.

Beliau berkata, kesalahan itu serius dan kes tersebut menarik perhatian umum kerana ia membabitkan nabi yang disanjung umat Islam.

“Ia juga akan memberi mesej salah kepada masyarakat mengenai pentadbiran kehakiman negara ini.”

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan rendah kerana dia menganggur dan menghadapi masalah kesihatan.

Hakim, M M Edwin Paramjothy menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April untuk sebutan semula kes.