Warga Thai rompak kedai emas persoal hukuman mati

Warga Thailand persoal mengapa dia dijatuhi hukuman mati atas alasan yang tidak diketahuinya. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang warga Thailand yang sedang menunggu hukuman mati kerana memiliki senjata api mencabar hukuman tersebut walaupun Mahkamah Persekutuan yang mensabitkannya enggan memberikan alasan bagi keputusan itu.

Songsil Udtoom, yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2012, berkata dia mempunyai hak untuk mengetahui mengapa panel 5 hakim mengetepikan pembebasannya oleh mahkamah rendah.

Peguamnya, M Visvanathan, berkata kes Songsil tidak pernah berlaku sebelum ini apabila lelaki yang disabitkan kesalahan bertanya mengapa dia akan dijatuhi hukuman mati atas alasan yang tidak diketahuinya.

“Penolakan Mahkamah Persekutuan untuk memberikan alasan penghakiman kepada Songsil sedangkan nyawanya akan diambil adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada FMT.

Peguam hak asasi manusia itu, yang hadir dengan Manjeet Singh Dhillon, berkata mahkamah juga melepaskan tanggungjawabnya dengan tidak memberikan alasan penghakimannya.

Visvanathan berkata beliau telah menulis kepada pendaftar mahkamah meminta transkrip dan alasan bertulis tetapi tidak berjaya.

“Surat dari Pendaftar Mahkamah Persekutuan menyatakan penghakiman tidak akan dibuat kerana ia tidak akan membuat keputusan baru,” katanya sambil menambah permohonan semakan itu difailkan bulan lepas.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan itu pada 28 Mei. Lelaki berusia 51 tahun itu mahu mahkamah mengetepikan keputusan itu dan mendengar permohonan baru.

Songsil adalah salah seorang daripada 3 warga Thailand yang ditangkap bersama seorang rakyat Malaysia pada 4 Feb 2007, di sebuah bilik di Pyramid Tower Hotel di Bandar Sunway kerana disyaki merompak kedai emas di Subang Parade, sehari sebelumnya.

Songsil; abangnya Jukkis; Loo Yeong Guang dari Rantau, Negeri Sembilan; dan teman wanitanya, Thai Phailin Noochangphueak dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2012.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh memiliki 6 senjata api tanpa sebab yang sah di bawah Seksyen 57 (1)(a) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan.

Bagi pertuduhan ke-2, mereka dituduh memiliki 336 peluru pelbagai jenis tanpa kuasa yang sah di bawah Seksyen 57 (1)(b) undang-undang yang sama.

Pada 2015, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan membebaskan mereka.

Sejak pihak pendakwaan merayu terhadap pembebasan itu, warga Thai itu ditahan reman, tetapi Loo yang dibebaskan tidak pernah hadir di mahkamah semasa rayuan pendakwaan.

Pada 2 Okt 2016, panel hakim yang dipengerusikan ketua hakim, Arifin Zakaria menjatuhi hukuman penjara 2 tahun terhadap Jukkis dan Phailin bagi mengurangkan tuduhan kerana memiliki peluru di bawah Akta Senjata Api.

Mereka kemudian dibebaskan tetapi Songsil dihukum mati.