5 rakan dihukum gantung bunuh pemandu lori

Kelima-lima tertuduh dijatuhi hukuman mati selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

TEMERLOH: Mahkamah Tinggi hari ini, menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas 5 rakan yang didapati bersalah membunuh seorang pemandu lori, 5 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu ke atas A Simon, 49, S Suthakar, 25, J Sivachandran, 31, B Thiyagu, 34, dan S Sundramoorthy, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Perbicaraan yang bermula pada Disember 2015 melibatkan 21 saksi pendakwaan dan 10 saksi pembelaan.

Mereka didakwa membunuh A [email protected], 43, antara pukul 2.30 hingga 3.30 pagi, 22 Nov 2014 di tepi Jalan Bendera 13, Taman Bukit Bendera, Mentakab.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan keterangan semasa perbicaraan, mangsa dan tertuduh mempunyai pertikaian yang berlarutan sejak beberapa tahun sebelum itu.

Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan berganda dan mayatnya ditemui dengan beberapa kesan tetakan di badan serta kepala, putus jari selain sebahagian kulit kepala ditemui di atas jalan.

Keterangan sebelum ini juga menyatakan mayat mangsa dihempap dengan motosikal dan dibakar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa manakala barisan pembelaan diwakili peguam A Sheelan dan R Ryshinah.