Anwar dakwa PAS bayar RM1.4 juta, tunjuk bukti kalau dicabar

SEMENYIH: Anwar Ibrahim malam tadi mendakwa PAS membayar RM1.4 juta kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kalau nak saman boleh saman dekat mahkamah tapi saya ada bukti,” kata presiden PKR dalam satu ceramah di Semenyih malam tadi.

“Kalau PAS cabar, saya boleh tunjuk kenyataan bank. Bank mana? Nanti dahulu,” tambahnya, disambut sorakan dan ketawa daripada hadirin.

Anwar sengaja mencabar PAS semalam untuk pastikan sama ada mereka benar-benar membayar wang kepada Rewcastle-Brown.

“Tapi PAS nafikan. Kalau tak ada fakta saya tak lawan,” katanya.

Sebelum ini, Anwar di satu program di Pulau Pinang mencabar PAS menyatakan jika ia membayar wang lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown untuk menyelesaikan kes saman Hadi.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan PAS sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Hadi kemudiannya menarik balik saman itu awal bulan ini.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PAS dan Hadi tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada editor Sarawak Report itu untuk penyelesaian di luar mahkamah.

“PAS menganggap kenyataan presiden PKR tersebut langkah terdesak beliau bagi mengalihkan pandangan rakyat dari isu ‘krisis keyakinan’ parti-parti Pakatan Harapan terhadap pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.