Bekas ahli Parlimen persoal mySalam tiru penjagaan kesihatan gaya AS

Michael Jeyakumar berkata Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan awam lebih baik berbanding AS. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas ahli Parlimen sekali lagi mengkritik skim insurans kerajaan kepada golongan B40, mengatakan Putrajaya harus menumpukan untuk memperluaskan sistem penjagaan kesihatan sedia ada, bukannya mengikut “gaya Amerika Syarikat”.

Membuat perbandingan dengan sistem AS, Dr Michael Jeyakumar berkata di AS, syarikat insurans yang berbeza menjual produk yang berbeza kepada mereka yang memerlukan insurans bagi mendapatkan penjagaan kesihatan.

“Insurans di AS, seperti insurans di sini, adalah penilaian risiko. Jadi jika anda lebih tua, anda perlu membayar lebih; jika keluarga anda mempunyai sejarah diabetes, anda membayar premium yang lebih tinggi.”

Beliau berkata Malaysia sebaliknya mempunyai sistem penjagaan kesihatan awam yang baik, lebih baik daripada AS walaupun Putrajaya mempunyai bajet yang kecil.

“Di AS, mereka yang tidak mempunyai banyak wang perlu mengambil pelan perlindungan minimum. Ramai rakyat Amerika tidak dilindungi dan tidak mampu membayar perlindungan insurans penuh,” kata ahli jawatankuasa pusat PSM kepada FMT.

Sebanyak 27 juta rakyat AS dilaporkan tidak diinsuranskan pada 2016.

Jeyakumar yang juga bekas ahli Parlimen Sungai Siput, berkata skim insurans MySalam akan mendorong Malaysia ke arah senario yang sama di mana syarikat insurans swasta dibenarkan atau digalakkan untuk melindungi kos kesihatan.

“Ini akan menyebabkan orang ramai dilindungi dengan perlindungan insurans yang tidak lengkap,” katanya.

Skim MySalam, yang akan melindungi 3.7 juta rakyat dari kumpulan B40, akan dibiayai dananya sebanyak RM2 bilion oleh Great Eastern Life milik Singapura.

Walaupun Great Eastern Takaful Bhd akan menguruskan skim ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata 3.7 juta yang dijangka mendapat faedah daripadanya bukanlah pelanggan Great Eastern.

Beliau juga memberi jaminan data mereka akan terpelihara di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Bagaimanapun, Jeyakumar berkata jika Great Eastern menguruskan skim ini, ia akan mempunyai akses kepada data yang boleh digunakan dalam percubaan untuk mendekati kumpulan B40 pada masa akan datang.

Beliau menggesa kerajaan memjelaskan sifat data yang mana Great Eastern akan mendapat akses.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai kenyataan di laman web MySalam bahawa penanggung insurans yang mengambil bahagian akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan kementerian kewangan untuk memperkenalkan produk yang diluluskan untuk kumpulan B40.

“Kita mungkin menghadapi situasi di mana kumpulan B40 menganggap ia berbaloi untuk membayar tambahan seratus sebulan untuk perlindungan insurans yang lebih banyak. Anda akan menarik lebih ramai ke dalam skim insurans swasta,” katanya.

Beliau menambah MySalam bukanlah “insurans kesihatan yang tepat” dan mereka yang di bawah skim ini hanya akan menerima RM8,000 jika mereka didiagnosis dengan mana-mana 36 penyakit yang dilindungi.

“Tetapi ia akan memberi ruang kepada seluruh populasi untuk percubaan selanjutnya oleh syarikat insurans untuk mencapai pasaran B40.

“Kami menentang apa yang berlaku di AS, yang membelanjakan 17% daripada kadar keluaran negara kasar (KDNK) berhubung penjagaan kesihatan dengan hasil yang tidak begitu baik.

“Kita hanya menghabiskan kurang 5% daripada KDNK, jadi jika kita berpegang pada sistem kita dan meningkatkan pembiayaan daripada hasil cukai, itu akan lebih baik.”

Badan pemikir, Pusat Galen mengenai Dasar Kesihatan dan Sosial juga mempersoalkan bagaimana data 3.7 juta rakyat akan dilindungi daripada eksploitasi komersial kerana Great Eastern akan mempunyai akses kepada mereka yang mendaftar dalam skim ini serta program Bantuan Sara Hidup.

“Terdapat kebimbangan yang pasti bahawa Great Eastern akan mempunyai keupayaan untuk mempromosikan produk insurans atau takaful mereka terus kepada kumpulan B40 tanpa persaingan,” ketua eksekutif Galen Azrul Mohd Khalib kepada FMT.