Biarlah mati di kampung sendiri, kata Tok Mat pertahan DUN Rantau

Mohamad Hasan mengibaratkan jika hendak mati, biarlah beliau mati di tempat kelahiran sendiri.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Memang saya akan bertanding di DUN Rantau. Kalau hendak mati, biarlah mati di kampung sendiri.

“Mati itu merujuk kepada bahasa orang Negeri Sembilan. Ia seperti, kalau hendak mati, biarlah mati di tempat kelahiran,” katanya kepada FMT.

Mohamad berkata, Barisan Nasional juga tidak mempunyai masalah dengan keputusannya itu, memandangkan kerusi DUN berkenaan merupakan kerusi tetap Umno.

“Tidak ada isu, mereka (BN) akan hormat siapa punya kerusi, melainkan di Cameron Highlands kita lakukan taktikal, kerana MIC pinjamkan kerusi itu sahaja,” katanya.

Mohamad hilang kerusi DUN berkenaan selepas gagal dalam rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan PRU14 membabitkan kerusi tersebut terbatal dan tidak sah.

Sehubungan itu, PRK DUN Rantau perlu diadakan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengisi kekosongan kerusi DUN Rantau dalam tempoh 60 hari mulai 26 Feb.

Azhar berkata, suruhanjaya itu sudah menerima perakuan mahkamah daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan bawah Seksyen 36A(3)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi DUN Rantau adalah terbatal.

Pada PRU14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya, S Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas dikeluarkan SPR.

Berikutan itu, pada 23 Mei lepas, Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK diadakan kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.