Dr M persoal tiada rundingan harga air mentah Johor-Singapura

Dr Mahathir Mohamad pada sesi pemukiman bersama wakil kerajaan negeri Johor, berkata Singapura jelas mengeksploitasi air mentah Malaysia.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa Johor sehingga kini tidak memberi sebarang tekanan kepada Singapura berhubung isu harga air mentah.

Mahathir menyatakan rasa tidak puas hati terhadap harga 3 sen air mentah bagi 1,000 gelen yang dijual kepada Singapura, tetapi isu itu seperti tidak mendapat sokongan daripada kerajaan Johor.

“Singapura pesat disebabkan harga air mentah yang dijual dari Johor, tetapi orang Johor jarang bercakap mengenai isu air mentah, seolah-olah kerajaan negeri tidak berasa tertekan dengan isu ini.

“Kerajaan negeri hanya sekadar menunggu rundingan dari kerajaan pusat. Tetapi kerajaan negeri perlu menekankan perkara ini, ia bukan sahaja tidak logik tetapi salah dari segi moral.

“Negara kaya bergantung kepada negara miskin dan Singapura jelas mengeksploitasi air kita,” katanya ketika berucap dalam sesi pemukiman bersama wakil kerajaan negeri Johor.

Mahathir berkata, Singapura merupakan negara maju dan mempunyai pendapatan per kapita mencapai AS$18,000, sedangkan Malaysia belum sampai AS$10,000.

“Negara yang kaya ini membeli air mentah dengan harga yang tidak berpatutan. Kalau tengok pengeluaran air mentah baru, harganya cukup tinggi tetapi Singapura masih bayar 3 sen, ini tidak masuk akal,” katanya.

Sejak mula mentadbir sebagai perdana menteri, Mahathir sering mempersoalkan harga air mentah yang dijual kepada Singapura yang tidak berubah sejak 1962.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan sedang merangka rundingan dengan kerajaan Singapura berkenaan harga air mentah.

“Kita sedang berusaha. Jadi kerajaan persekutuan, termasuk pegawai kerajaan negeri Johor akan berunding dan yang akan mengetuai rundingan tersebut adalah Menteri Luar, Saifudin Abdullah,” katanya.

Tahun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, kerajaan negeri akan menjual air mentah kepada Singapura pada nilai yang berpatutan sesuai dengan keadaan semasa.

Mengikut perjanjian air semasa yang berakhir pada 2061, Malaysia membekalkan air mentah kepada Singapura sebanyak 250 juta gelen setiap hari pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Malaysia akan membeli semula air yang telah dirawat daripada Singapura pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.