Guan Eng akan siasat dakwaan SST penyebab kos perniagaan naik

Lim bersama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Min Liang Tan, pengasas bersama Razer, menggunakan pengimbas QR di gimik pelancaran Razer Malaysia.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengakui pelaksanaan SST mungkin dibuat secara tergesa-gesa, tetapi dakwaan mengatakan ia menyebabkan kos perniagaan meningkat harus disiasat.

Lim menjawab Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) yang mendakwa kos perniagaan meningkat sejak SST menggantikan GST yang dimansuhkan Mei tahun lepas.

“Kenaikan harga bawah SST lebih rendah daripada GST kerana indeks harga pengguna hanya 1% bawah SST berbanding 3.7% bawah GST,” katanya.

Lim menghadiri 18 dialog di serata negara untuk menjelaskan impak SST, yang diperkenalkan pada September tahun lalu.

“Saya sedia bertemu FMM untuk bincang sama ada kenaikan harga dapat dianggap disebabkan SST atau sebab-sebab struktur lain,” katanya.

Dilaporkan pelaksanaan semula SST akan menyebabkan kerajaan kerugian RM25 billion dalam bentuk hasil cukai.