Inkues kematian Adib ditangguh, peguam tidak sihat

Prosiding hari ini dijadualkan memanggil 2 saksi orang awam, termasuk seorang pakar forensik daripada Institut Perubatan Forensik Negara. (Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang memasuki hari ke-12 hari ini ditangguhkan selepas peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor tidak hadir.

Ia berikutan masalah kesihatan yang dialami beliau.

Permohonan penanguhan itu dibuat peguam keluarga anggota bomba itu, Kamaruzaman Abd Wahab kepada koroner mahkamah Shah Alam, Rofiah Mohamad.

Cadangan penanguhan itu tidak dibantah ketua pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah.

Rofiah kemudian menerima permohonan itu dn seterusnya memaklumkan inkues akan disambung semula Jumaat ini pada jam 10.30 pagi.

“Memandangkan keadaan tidak dapat dielakkan, disebabkan puan Syazlin seorang sahaja mewakili kementerian, saya menerima permohonan itu dan inkues akan disambung esok.

Terdahulu, prosiding hari ini dijangka memanggil 2 saksi orang awam, termasuk seorang pakar forensik daripada Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN).

Inkues itu akan bersambung esok dengan saksi ke-19.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu selepas bertarung nyawa selama 21 hari.

Seramai 30 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam tempoh 52 hari yang ditetapkan untuk inkues tersebut.