Kashmir: Imran Khan seru dialog dengan India

Pakistan mengakui Islamabad menyerang kedudukan tentera India, namun mendakwa berbuat demikian untuk mempertahankan diri. (Gambar AFP)

ISLAMABAD: India dan Pakistan terlibat dalam pertempuran udara di Garisan Kawalan Kashmir (LoC) buat kali pertama sejak 1971 semalam, dengan New Delhi mendakwa kehilangan juruterbangnya dalam insiden itu, manakala Islamabad kehilangan sebuah jet pejuang F-16, menurut sumber India.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengesa supaya ketegangan diredakan dan menjemput India memilih dialog berbanding kekerasan, dalam satu ucapan televisyen yang disiarkan ke seluruh negara.

Ucapan dibuat selepas Pakistan menembak jatuh 2 pesawat India merentasi LoC, iaitu sempadan de facto memisahkan Kashmir yang ditadbir kedua-dua negara. Seorang juruterbang India dilaporkan ditangkap.

Imran berkata, kedua-dua pihak seharusnya tidak tersilap perhitungan dan beliau bersedia berbincang dengan India bagi mencari jalan menyelesaikan isu berbangkit, termasuk masalah keganasan.

“Marilah duduk bersama dan menyelesaikan masalah kita menerusi dialog,” kata Imran kepada kepimpinan India selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi Pusat Arahan Kebangsaan yang memantau senjata nuklear Pakistan.

Kementerian Hal Ehwal Luar India dalam satu kenyataan berkata, Pakistan memberi maklum balas terhadap “tindakan anti-keganasan” negara itu ke atas kumpulan Jaish-e-Mohammed, yang disyaki melancarkan serangan ke atas konvoi tentera India minggu lalu dengan “menyasarkan pangkalan tentera India”.

Kenyataan menambah, tentera udara India (IAF) kehilangan sebuah jet pejuang MiG-21 dan juruterbangnya.

Katanya, ia sedang mengesahkan dakwaan Pakistan juruterbang negara itu ditangkap dan dibawa merentasi sempadan.

Kementerian Luar Pakistan mengakui Islamabad menyerang kedudukan tentera India, namun mendakwa berbuat demikian untuk mempertahankan diri.

“Tujuan utama tindakan ini ialah menunjukkan hak kami, kemahuan dan keupayaan untuk pertahanan diri. Kami tidak berhasrat menamnah ketegangan, tetapi bersedia melakukannya jika terpaksa,” kata seorang jurucakap.

Awal bulan ini, kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan, JeM mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan bom di daerah Pulwama di Kashmir yang ditadbir India megakibatkan lebih 40 anggota separa tenteranya terbunuh.

Imran berkata, beliau menawarkan “perdamaian” kepada India berikutan insiden di Pulwama.

“Kami menawarkan kepada India kerjasama penuh. Pakistan tidak boleh membiarkan tanah airnya digunakan untuk menyerang negara lain,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya bimbang India akan terjejas berikutan pilihan raya akan datang.

Imran berkata, tiada negara berdaulat boleh membenarkan pelanggaran ke atas kedaulatannya.

“Tujuan utama tindakan kami ialah menyampaikan mesej bahawa jika anda datang ke negara kami, kami boleh melakukan perkara yang sama (terhadap anda”, katanya.