Kashmir: Pemimpin dunia minta India-Pakistan bertenang

Pakistan dan India mendakwa menembak jatuh jet pejuang masing-masing yang menyaksikan peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara berhubung isu Kashmir. (Gambar Reuters)

ANKARA: Komuniti antarabangsa pada Rabu meluahkan kebimbangan berhubung ketegangan yang semakin memuncak selepas berlaku serangan udara rentas sempadan antara Pakistan dan India, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pemimpin asing.

Kementerian Luar Perancis, dalam satu kenyataan menggesa Pakistan dan India berusaha mengurangkan ketegangan “kerana Perancis bimbang dengan kemerosotan situasi yang sedang berlaku”.

Dalam satu perbualan telefon dengan Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi, Menteri Luar Iran Jawad Zarif menyuarakan kesedihan dan menggesa kedua-dua negara agar menggunakan “akal yang waras”.

Terdahulu, Jerman turut meminta Pakistan dan India melakukan usaha bagi mengurangkan ketegangan.

“Kerajaan persekutuan merayu kedua-dua pihak agar tidak mengambil langkah yang boleh memburukkan lagi konflik,” kata jurucakap Kementerian Luar Jerman Maria Adebahr pada sidang media di Berlin sambil menambah bahawa India dan Pakistan bertanggungjawab menjaga kestabilan serantau.

Beliau berharap kedua-dua jiran yang memiliki senjata nuklear itu akan menggunakan saluran dialog sedia ada bagi mengurangkan ketegangan dan mencari satu penyelesaian aman.

Perdana Menteri Britain Theresa May turut menzahirkan kebimbangan dan menggesa kedua-dua pihak agar bertenang.

Bercakap pada sesi soal-jawab mingguan di Dewan Rakyat, May berkata, kerajaan Britain kini memantau rapi perkembangan itu dan berharap ketegangan antara kedua-dua negara boleh dikurangkan.

“UK menggesa kedua-dua pihak agar segera bertenang untuk mengelak ketegangan terus meningkat,” kata May.

Rusia, China, Nepal dan Amerika Syarikat turut meminta India dan Pakistan bertenang dan menggunakan dialog untuk menyelesaikan masalah.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu, yang meminta agar kedua-dua negara bertenang berkata, punca perbalahan, iaitu isu Kashmir hendaklah diselesaikan “secepat mungkin” dalam kerangka undang-undang antarabangsa.

Kesatuan Eropah (EU) pula memberi amaran kepada Pakistan dan India berkaitan “kesan serius dan berbahaya” akibat ketegangan yang memuncak baru-baru ini.

“Ketegangan di sepanjang “garisan kawalan” antara India dan Pakistan meningkat dari segi ketenteraan sejak beberapa hari lepas,” kata ketua dasar luar EU Federica Mogherini.

“Ini berpotensi membawa kesan serius dan berbahaya kepada kedua-dua negara dan rantau yang lebih luas.”

Pakistan dan India mendakwa pada Rabu bahawa mereka telah menembak jatuh jet pejuang masing-masing, yang menyaksikan peningkatan ketegangan yang signifikan antara kedua-dua negara berhubung isu Kashmir.

India mendakwa pada Selasa bahawa pesawat perangnya telah memasuki ruang udara Pakistan dan menjatuhkan bom ke atas sebuah “kem tentera” selepas lebih 40 tentera India maut dalam satu serangan bunuh diri di Kashmir yang dikuasai India pada 14 Feb.

Para pegawai awam dan tentera Pakistan menyangkal dakwaan itu.