Keluarga Adun meninggal dunia terguris dengan ketua Umno Puchong

Adibah Ahmad (tengah, tudung ungu) bercakap mewakili keluarga Adun yang meninggal dunia pada sidang media di Semenyih hari ini. Bersamanya, Kamarulbahrin Zahid (baju batik) rakan bekas Adun Seri Setia, Fitri Al-Amin Bahtiar, dan Bryan Lai Wai Chong (baju putih) rakan kepada bekas Adun Balakong.

SEMENYIH: Keluarga bekas wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang meninggal dunia terguris hati dengan kenyataan Ketua Umno Puchong, Mohamed Satim Diman yang menyifatkan kematian mereka sebagai amaran Allah supaya rakyat memilih parti dengan tepat.

Adibah Ahmad, isteri kepada bekas Adun Seri Setia, Shaharuddin Badaruddin mewakili keluarga bekas-bekas wakil rakyat PH yang meninggal dunia menuntut Satim menarik balik kenyataan tersebut.

“Sesungguhnya tidak ada mana-mana pangkat, darjat, latar belakang parti politik yang dapat menghalang takdir Allah berkaitan kehidupan dan kematian.

“Inilah qada dan qadar Allah dan kami sekeluarga doakan supaya tiada lagi unsur-unsur kempen yang
melampaui batas norma dan budaya kita sebagai rakyat Malaysia,” kata Adibah pada sidang media di Semenyih.

Beliau mewakili anggota keluarga yang hadir, iaitu Rohani Abdul Sattar, isteri bekas Adun Sungai Kandis, Mat Suhaimi Shafiei, Loh Hwa Hong, isteri bekas Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee dan Fitri Al-Amin Bahtiar, anak bekas Adun Semenyih, Bahtiar Mohd Nor.

Semalam, media melaporkan Satim sebagai berkata, hakikat satu demi satu pilihan raya kecil (PRK) berlangsung di Selangor adalah amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

Satim berkata semua PRK di Selangor, iaitu di Sungai Kandis pada bulan Ogos lalu, Seri Setia September dan Balakong pada September, dan kini di Semenyih melibatkan kematian wakil rakyat PH.

Katanya, Allah telah memberi amaran sejak PRK Sungai Kandis yang berlangsung 3 bulan selepas PH mengambil alih pentadbiran negara agar rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat yang diberikan itu.

Adibah memberi tempoh 2 hari kepada Satim untuk meminta maaf dan tarik balik kenyataannya atau tindakan akan diambil.