Kes Siti Kasim gugur, kenapa Papagomo didakwa, kata Khairy

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin hari ini mempersoal tuduhan bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan terhadap Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris, mengatakan terdapat unsur pertuduhan terpilih oleh Jabatan Peguam Negara.

Beliau tertanya mengapa Azri didakwa kerana mengucapkan perkataan “bodoh” pada seorang menteri tetapi tindakan terhadap peguam terkenal, Siti Kasim yang menunjukkan isyarah lucah pada penonton forum 3 tahun lalu dibatalkan.

“Kes Azri dan Siti Kasim kedua-duanya atas asas dan kesalahan bawah seksyen yang sama.

“Saya tidak mempertahankan tindakan Azri, tapi saya nak tahu kenapa tindakan peguam negara tidak konsisten,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Rembau berkata pembatalan arahan untuk mendakwa Siti Kasim bawah Seksyen 509 pada 11 Februari lepas menunjukkan terdapat asas untuk membawa kes itu ke mahkamah.

“Atas arahan Jabatan Peguam Negara, kes tersebut digugurkan,” katanya.

Khairy memberi amaran perkembangan ini pasti akan beri imej buruk kepada sistem undang-undang.

“Jika berlarutan akan menyebabkan rakyat terus hilang kepercayaan,” katanya.

Azri hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan bawah Seksyen 509 kerana mengucapkan perkataan “bodoh” dan Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan pada bahu dan leher Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Hakim Mahkamah Majistret, Fadzilatul Isma Ahmad Refngah memerintahkan Azri membayar wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri ke balai polis sekali dalam sebulan.

Azri sebelum itu ditahan reman selama 3 hari selepas Syed Saddiq membuat laporan polis mendakwa dia dicekak Azri selepas penamaan calon pilihan raya kecil DUN Semenyih di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang pada 10:45 pagi, 16 Februari lalu.

Mahkamah menetapkan 1 April untuk sebutan semula kes.

Pada September 2016, Siti Kasim yang lantang menentang usaha memperkasakan undang-undang syariah di negara ini, diganggu peserta forum membincangkan rancangan PAS memperkenalkan hukuman lebih berat kepada pesalah syariah.

Beliau kemudiannya disiasat polis selepas satu laporan dibuat terhadapnya kerana menunjukkan jari tengah kepada kumpulan hadirin itu. Siti dilapor berkata, pengkritiknya cuba mendakwa beliau menghina Islam.

Siti Kasim pada 11 Februari lalu berkata Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak mendakwanya.