Kes Zahid pindah ke Mahkamah Tinggi

Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan merangkumi 12 dakwaan pecah amanah, 8 pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen memindahkan kes Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan nilai puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Rozina Ayob memindahkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ahmad Sazilee Abdul Khairi memaklumkan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

“Permohonan itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada 21 Feb lepas dan telah dibenarkan. Namun tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan,” kata beliau semasa sebutan semula kes itu hari ini.

Ahmad Sazilee turut memaklumkan lebih 300 dokumen berkaitan kes diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Hanya beberapa dokumen termasuk cek dari beberapa bank belum diserahkan dan akan diberikan secepat mungkin,” katanya.

Rozina menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi. Peguam Hisyam Teh Poh Teik mengetuai pasukan pembelaan.

Terdahulu, Zahid, 66, yang berkemeja batik masuk ke bilik bicara pada 9.04 pagi, kelihatan berbual dengan 2 lelaki, termasuk penjaminnya sebelum prosiding bermula. Beliau yang kelihatan ceria turut menegur dan bersalaman dengan wartawan.

Semasa prosiding bermula, Rozina secara lembut menegur penjamin Ahmad Zahid supaya memakai pakaiannya dengan kemas.

“Pakai elok-elok sikit penjamin…butang baju tu…,” kata Rozina sambil tersenyum menyuruh penjamin Zahid yang memakai kemeja putih dan tidak membutangkan kemejanya dengan penuh sehingga menampakkan dada, menyebabkan orang awam dan wartawan yang duduk di galeri awam serta pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu ketawa.

Pada 19 Okt dan 14 Dis tahun lepas serta 20 Feb lepas, ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah terhadap keseluruhan 47 pertuduhan merangkumi 12 dakwaan pecah amanah, 8 pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat 6 pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di bank sama antara 13 Jan 2014 dan 11 Jan 2016.

Bagi 8 pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada 3 syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama iaitu boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.