Laporan: Jutaan wang Maika Holdings dibayar kepada anak Samy Vellu

Setiusaha Agung MIC, Vell Paari.

PETALING JAYA: Skandal 30 tahun melibatkan satu syarikat pelaburan mungkin melanda semula MIC berikutan pendedahan bahawa ratusan ribu ringgit dibayar kepada anak bekas presiden parti itu, Samy Vellu, antara tahun 2003 n 2009, menurut portal Sarawak Report.

Lamanweb itu hari ini menerbitkan dokumen yang menurutnya menunjukkan bagaimana wang, termasuk dalam bentuk tunai, dibayar kepada syarikat berkait Vell Paari, setiausaha agung MIC yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Maika Holdings, yang merupakan idea bapa beliau pada tahun 80-an.

Syarikat itu ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat pelaburan MIC yang berjaya mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 66,400 anggota masyarakat India, yang kebanyakannya berpendapatan rendah. Mereka dijanjikan keuntungan lumayan yang tidak pernah tertunai, sebaliknya hanya mendapat 80% daripada pelaburan asal mereka.

Sarawak Report memetik laporan yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh penyelesai yang terlibat dalam tindakan penggulungan ke atas syarikat itu bagi bayaran yang dibuat antara 2003 dan 2009.

“Dua puluh bayaran tunai berjumlah RM1.6 juta dibuat oleh syarikat itu kepada Vell Paari dalam tempoh itu, dengan sesetengahnya dibayar sebagai ‘fi promosi’, tetapi kebanyakannya tanpa apa-apa penjelasan,” kata lamanweb pemberi maklumat itu.

Bayaran itu termasuklah RM33,500 kepada firma guaman bagi satu kes persendirian berkait ibu Vell Paari “berhubung masalah yang tidak ada kena-mengena dengan kepentingan pemegang saham biasa Maika Holdings”, kata laporan itu.

RM1.3 juta lagi dibayar kepada sebuah syarikat Australia yang dimiliki oleh keluarga Vell Paari, yang menurut laporan itu, berhadapan masalah dengan pihak berkuasa Australia kerana gagal membayar cukai kakitangannya. Syarikat itu didakwa menerima bayaran berikutnya sebanyak AS$870,000 pada 2002.

Syarikat lain berkaitan Vell Paari yang didakwa menerima bayaran daripada Maika ialah sebuah firma Afrika Selatan (AS$3.12 juta), syarikat media Tamil Nesan (RM150,000) dan sebuah firma pengedaran yang diberikan RM1.3 juta untuk membeli hak ke atas filem “hit” Tamil “Sivaji the Boss”.

Ketika dihubungi, Vell Paari memberitahu FMT beliau akan mengeluarkan kenyataan bagi menjawab dakwaan itu.