Menteri cadang ceramah lesen memandu diterap di sekolah

Loke Siew Fook (3 dari kanan) dan Maszlee Malik (2 dari kanan) ketika sidang media di Majlis Pelancaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya bagi Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di PICC, hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook hari ini mencadangkan ceramah 6 jam yang wajib dihadiri semasa mengambil lesen memandu diterapkan di sekolah melalui subjek Bahasa Melayu Tingkatan 4.

Beliau berkata, langkah itu akan memberikan satu perkara yang menarik kepada pelajar dan mereka boleh dikecualikan daripada menghadiri ceramah semasa mengambil lesen memandu.

“Kalau pelajar yang mempelajari sukatan ini, mungkin semasa ambil lesen memandu di Jabatan Pengangkutan Jalan, kita boleh mengecualikan pelajar ini daripada menghadiri ceramah.

“Sebab kita tahu. Saya juga pernah duduk 6 jam semasa ceramah, Maszlee pun kena. Semua orang kena. Pergi ceramah 6 jam, 3 jam tidur. Lebih baik kita jujur mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya bagi Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Katanya, modul mengenai keselamatan jalan raya telah diterapkan di sekolah rendah.

“Tetapi apabila mereka masuk sekolah menengah, apa yang perlu diterapkan adalah bukan saja konsep tetapi pengetahuan yang lebih mengenai jalan raya dan juga undang-undang jalan raya raya,” katanya.

Loke berkata, umur 16 tahun atau ketika Tingkatan 4 dicadangkan kerana pada umur itu ramai pelajar sekolah menengah mengambil lesen memandu.

Mengulas mengenai cadangan itu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang turut hadir dalam sidang media itu, berkata cadangan itu akan dibawa ke satu jawatankuasa yang menilai kurikulum sekolah.

“Sekarang ini kita mempunyai jawatankuasa dasar yang akan membawa kurikulum baru ke sekolah.

“Dan kita mengalu-alukan sebarang idea inovatif dan kreatif seperti idea Loke,” katanya.