MTUC tolak gaji minimum ikut sektor

Setiausaha agung MTUC J Solomon berkata, tidak ada syarikat perniagaan di dunia yang ditutup kerana wujudnya gaji minimum.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara hendaklah hanya menetapkan paras gaji minimum dan tidak melangkaui bidan kuasanya.

Setiausaha agung MTUC, J Solomon berkata, dalam persekitaran kesatuan sekerja, gaji dirundingkan oleh kesatuan dan majikan dan adalah tidak wajar pihak lain menentukan gaji.

“Oleh sebab itu bukanlah idea yang baik untuk menetapkan gaji minimum mengikut sektor kerana pengurusan dalam sektor yang sama mungkin mempunyai jurang luas dalam keuntungan mereka,” katanya kepada FMT.

Jika tidak katanya, atas sebab-sebab yang jelas, majikan mungkin menggunakan gaji minimum yang ditetapkan oleh majlis tersebut, yang pastilah paling rendah, dalam perundingan, bukannya berdasarkan “gaji sara hidup dan kemampuan membayar”.

Beliau menolak dakwaan bahawa sesetengah syarikat terpaksa ditutup berikutan penetapan gaji minimum, sekali gus menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal”.

Kata beliau, tidak ada syarikat perniagaan di dunia yang ditutup kerana wujudnya gaji minimum.

Solomon berkata, ada majikan yang membuat dakwaan sedemikian sebelum ini, tetapi apabila MTUC meminta bukti, mereka tidak dapat memberikannya.

“Mungkin menteri boleh berikan nama syarikat berkenaan bagi membolehkan kami membuat penilaian dan berikan pandangan.”

Beliau berkata, Malaysia terkenal dengan masalah ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan dan mesti bekerja ke arah penghapusannya, bukannya memburukkan lagi keadaan itu.

Beliau juga berkata, komuniti perniagaan mesti diingatkan bahawa kekayaan negara bukanlah untuk mereka dan keluarga mereka semata-mata.

“Mereka mesti menyuburkan tabiat mengongsinya dengan adil dengan mereka yang menyumbang kepada kekayaan tersebut.”

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran sebelum itu mempertahankan kenyataan beliau mengenai gaji minimum yang berbeza untuk sektor berbeza dengan berkata, beliau hanya mengikuti syor Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

“Di bawah (Akta 732) dalam Seksyen 22(b), litupan kadar gaji minimum yang disyorkan boleh dibuat mengikut sektor, jenis pekerjaan dan wilayah,” beliau dilaporkan berkata.

Charles Santiago

Sebelum itu katanya, Putrajaya akan melihat kemungkinan menetapkan gaji minimum mengikut sektor selepas mengambil kira realiti berlainan setiap sektor dan syarikat yang mungkin tidak mampu menampung peningkatan kadar gaji.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, kadar gaji minimum hendaklah ditetapkan berdasarkan wilayah, bukannya mengikut sektor.

Katanya, langkah itu lebih logik kerana kos hidup berbeza mengikut tempat.

“Kos hidup di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi berbanding luar bandar, justeru gaji di bandar sepatutnya lebih tinggi.

“Contohnya kos hidup di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Perak adalah jauh lebih tinggi daripada di Kelantan dan Terengganu.

“Malah di Kelantan, wujud perbezaan antara kos di bandar dan di luar bandar. Semakin ‘bandar’ sesuatu tempat, semakin tinggi kos hidup anda. Oleh sebab itu, gaji minimum anda haruslah didasarkan kepada keadaan itu.

“Oleh sebab itu kita perlu menggunakan pendekatan gaji minimum berdasarkan wilayah,” katanya.

Kata beliau, Indonesia misalnya menetapkan gaji minimum berdasarkan wilayah berbeza.