Muhyiddin: Bekas ketua hakim ketuai RCI siasat kubur Wang Kelian

(Dari kiri) Muhyiddin Yassin; Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Timbalannya, Mahfuz Omar ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ke-2, hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin hari ini berkata bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria akan mengetuai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan penemuan kubur di Wang Kelian pada 2015.

Beliau berkata, RCI itu akan terdiri daripada 8 anggota, sementara Arifin akan dibantu bekas ketua polis negara, Norian Mai.

“Lantikan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Minggu hadapan saya akan berjumpa dengan seluruh anggota RCI ini di kementerian untuk menyerahkan surat lantikan, memberikan taklimat tentang latar belakang isu Wang Kelian.

“Daripada situ mereka boleh memulakan kerja mereka,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ke-2, hari ini.

Pada Mei 2015, ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur kecil dan besar di Wang Kelian serta Padang Besar yang dipercayai milik pendatang asing.

Ia kemudiannya membawa kepada operasi besar-besaran polis Thailand ke atas rangkaian pemerdagangan manusia.

Pada 17 Mac 2018, Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, Perlis.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tempoh yang diberikan kepada anggota RCI terbabit adalah selama 6 bulan.

“Selepas 6 bulan, siap laporan nanti akan dibawa kepada kementerian dan kita akan meneliti apakah hasil daripada RCI itu,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata jawatankuasa mesyuarat hari ini bersetuju mekanisme levi pelbagai peringkat akan dilaksanakan meliputi semua sektor pada satu tempoh yang akan ditetapkan.

“Dengan mengambil kira aspek integriti data, kesediaan pihak kerajaan dan majikan.

“Bagaimanapun, bagi sektor perkilangan, nisbah kebergantungan pekerja asing bagi mekanisme levi pelbagai peringkat yang dibenarkan adalah hanya sehingga 75%,” katanya.

Muhyiddin berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menilai keperluan majikan atau syarikat di sektor perkilangan yang menggajikan pekerja asing melebihi nisbah yang dibenarkan secara “case to case basis”.

“Ini bagi memastikan operasi syarikat berkenaan tidak terjejas khususnya bagi eksport barangan syarikat.

“Jawatankuasa turut bersetuju supaya jawatan tukang masak, pembantu dapur dan pelayan restoran dibenarkan untuk digajikan di sub sektor restoran,” katanya.