Papagomo mengaku tidak bersalah hina, cedera Syed Saddiq

Papagomo berdepan 2 pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ dan Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan di bahu dan leher Syed Saddiq.

KAJANG: Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan dalam insiden membabitkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Wan Muhammad Azri berhadapan 2 pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan “bodoh” dan Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan di bahu dan leher Syed Saddiq.

Hakim Mahkamah Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah memerintahkan Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo membayar wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri ke balai polis sekali dalam sebulan.

1 April depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum itu, peguam yang mewakili Papagomo, Nik Saiful Adil Burhan, Farhan Maaruf dan N Logendran membuat rayuan kepada mahkamah supaya tidak mengenakan sekatan pasport serta meringankan jumlah wang jaminan yang dicadangkan timbalan pendakwa raya sebanyak RM30,000.

Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang melibatkan kesalahan mengaibkan kehormatan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 323 pula berkait kesalahan mendatangkan kecederaan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sewaktu ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah selesai, Nik Saiful Adil Burhan berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan mahkamah kerana percaya hakim membuat keputusan tanpa campur tangan politik.

“Kita berharap pihak pendakwa dapat kemukakan bukti kukuh berhubung kejadian berkenaan kerana ia merupakan tuduhan serius terhadap anak guam kami.

“Berdasarkan dokumen pendakwaan yang akan diserahkan, kita akan putuskan apakah yang perlu dibuat.

“Antaranya kita hendak lihat ialah siasatan polis dan paling penting, laporan perubatan. Kita hendak lihat setakat manakah kecederaannya. Nanti sewaktu pembelaan Syed Saddiq akan dipanggil memberi keterangan dan kami minta beliau betul-betul bersedia nanti,” katanya.

Papagomo sebelum ini ditahan reman selama 3 hari selepas Syed Saddiq membuat laporan polis mendakwa beliau dicekak oleh individu terbabit dalam satu insiden sebaik selesai proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada jam 10.45 pagi, 16 Februari lalu.

Pada 21 Februari, iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.

Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis Kajang, dengan berkata insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas proses penamaan calon itu sebagai satu salah faham.

Pada 20 Februari, Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim berkata, insiden membabitkan 2 individu terbabit lebih kepada salah faham, bukannya serangan.