PAS akan dedah semua dokumen penyelesaian luar mahkamah

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberikan keterangan hampir 5 jam di SPRM Putrajaya.

PUTRAJAYA: PAS akan dedahkan semua dokumen berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman Presiden Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata pendedahan akan dibuat pada sidang media minggu ini.

“Saya seorang peguam. Saya akan tunjukkan berdasarkan bukti, bukan macam dia,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa PAS membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian itu, dan dia boleh tunjukkan kenyataan bank kalau PAS mencabarnya.

Anwar berkata demikian selepas Takiyuddin berkata PAS dan Hadi tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada editor Sarawak Report itu untuk penyelesaian di luar mahkamah.

Terdahulu, Takiyuddin memberi keterangan hampir 5 jam kepada SPRM yang sedang menyiasat dakwaan PAS menerima RM90 juta yang dikaitkan dengan 1MDB daripada Umno.

Siasatan SPRM itu susulan daripada penyelesaian antara Hadi dan Rewcastle-Brown.

Presiden PAS itu memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan PAS sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Hadi menarik balik saman itu awal bulan ini.

Takiyuddin menyorot perhatian kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull mengatakan badan anti-rasuah itu setakat ini tidak mengesan RM90 juta disalurkan ke akaun rasmi PAS.

“Penyata PAS Pusat kita telah beri kepada SPRM dari Januari 2015 hingga Disember 2018,” kata Takiyuddin kepada pemberita.

Takiyuddin berkata PAS akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap presiden PKR itu.

Mengenai sesi bersama SPRM hari ini, Takiyuddin memaklumkan namanya antara yang tersenarai dalam saman Hadi terhadap Rewcastle-Brown.

“Saman pembelaan itu menyebut nama pimpinan PAS. Saya ingat ada dalam 10 orang. Salah seorang adalah saya.

“Jadi saya datang sini untuk bagi kenyataan kepada SPRM mengenai dakwaan yang dibuat saya ada sebuah kereta kononnya daripada duit RM90 juta yang dibayar itu,” katanya.

Takiyuddin berkata, pimpinan PAS yang tersenarai dalam saman terbabit akan hadir dan memberikan kerjasama kepada pegawai SPRM di Kelantan, Terengganu dan Perlis.