PRK Semenyih: Polis buka 11 kertas siasatan, termasuk dakwaan paksaan mengundi

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

SEMENYIH: Polis sehingga kini menerima 35 laporan dan membuka 11 kertas siasatan sejak tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, bermula 16 Feb lalu.

Timbalan ketua polis Daerah Kajang Mohd Sabri Abdullah berkata, antara kertas siasatan terbaru melibatkan isu pengadu merasakan keselamatan diri dan keluarga terancam kerana didakwa terdapat unsur paksaan mengundi dalam PRK itu yang akan berlangsung Sabtu ini.

“Bagi kes ini kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pengaruh tidak wajar),” katanya, pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga 8 pagi ini, 314 permit ceramah dan kempen politik dikeluarkan ibu pejabat polis Kajang merangkumi 161 permit untuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN)(135), Parti Sosialis Malaysia (PSM)(10) dan 8 bagi seorang calon Bebas.

Mohd Sabri seterusnya berkata, pada hari ini dan esok, anggota polis trafik bertugas menjalankan latihan kawalan lalu lintas dan mengiringi peti undi bagi memastikan kelancaran penugasan pada hari pengundian.

Bermula semalam, 2 pegawai dan 60 anggota polis trafik dari pelbagai daerah di Selangor melapor diri bagi penugasan berkenaan.

PRK itu menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.