Pusat pemulihan dadah letak harapan pada Dr M elak diusir

Pengasas bersama Pengasih, Ramli Abd Samad.

KUALA LUMPUR: Sebuah papan tanda kecil dan tersorok di Jalan Syers, Bukit Tunku di sini, menandakan pintu masuk ke sebuah lorong yang menghala ke Pengasih Malaysia, sebuah pusat pemulihan dadah.

Pengasih diasaskan 28 tahun lepas oleh bekas penagih dadah dan merupakan satu-satunya pusat pemulihan yang diuruskan oleh bekas penagih.

Sepanjang tempoh itu, mereka yang mengurus pusat yang tidak bermatlamatkan keuntungan itu, yang terletak di satu tapak seluas 3.2 hektar, mendakwa telah membantu lebih 5,000 yang bergelut dengan masalah ketagihan dadah.

Di sebuah rumah yang menjadi kediaman lebih 1,500 penagih, bagi mereka, Pengasih bukanlah hanya blok asrama, dewan dan pokok-pokok yang menghijau. Ia adalah harapan masa depan yang lebih baik.

Bagaimanapun, pertikaian undang-undang yang berlaku antara Pengasih dengan anak syarikat Khazanah Nasional mungkin memaksa pusat pemulihan itu melepaskan tanah yang dihuninya kini – kemungkinan yang pengasas bersamanya Ramli Abd Samad berharap tidak berlaku.

Bercakap kepada FMT, Ramli, yang merupakan presiden Persatuan Pengasih Malaysia berkata, beliau berharap kerajaan baru, terutamanya pengerusi Khazanah Nasional dan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, akan campur tangan dalam perkara itu.

Ramli berkata, daripada 3.2h tanah yang diduduki oleh Pengasih, hanya 1.4h dimiliki oleh anak syarikat Khazanah, STLR Sdn Bhd, sementara bakinya mlik kerajaan persekutuan.

Akan tetapi katanya, tanah STLR yang menempatkan asrama kanak-kanak lelaki dan surau, tersepit di antara lot tanah yang dimiliki oleh kerajaan.

Pengasih ditawarkan tapak alternatif di Bentong, Pahang, tetapi berharap dapat kekal di pusat Bukit Tunku seperti sekarang.

“Pada 2012, kami berbincang dengan STLR mengenai cadangan pemindahan pusat ini ke satu tapak di Bentong, Pahang. Mereka berjanji memberikan kami kemudahan yang lebih baik.”

Kata Ramli, pusat yang dicadangkan itu sepatutnya bertaraf antarabangsa, dengan kemudahan seperti dewan serba guna, kemudahan sukan, bilik sembahyang dan tanah untuk kegiatan pertanian.

Bagaimanapun kata beliau, pembinaan pusat berkenaan tidak memenuhi standard yang diharapkan, sementara beberapa kemudahan seperti surau, blok perubatan, dewan, rumah pengawal dan pagar belum siap.

“Pada 2017, kami diminta berpindah, tetapi kami tidak mahu kerana pusat itu belum siap.”

Beliau berkata, pada ketika itulah STLR membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Ramli berkata, jika diberi pilihan, Pengasih mahu kekal di tapak sekarang kerana adalah penting Kuala Lumpur mempunyai pusat sedemikian.

“Di sini ada akses pengangkutan awam, dekat dengan Hospital Kuala Lumpur dan mudah dilawati keluarga,” kata beliau, dengan menambah bahawa sesetengah “pelanggan” Pengasih masih bersekolah atau bekerja di bandar raya tersebut.

“Kami berharap Tun (Dr Mahathir) akan campur tangan dan benarkan kami terus berada di sini. Kami tahu beliau prihatin dan akan membantu kerja kami.”

Ketika dihubungi, pengarah urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan memberitau FMT bahawa pertikaian itu dibawa ke mahkamah kerana mereka gagal mencapai persetujuan.

“Saya percaya beberapa cadangan yang munasabah telah dibuat kepada mereka dan kami berharap perbincangan seterusnya boleh diadakan bagi mencapai kata sepakat.

Shahril, yang mengambil alih pengurusan Khazanah tahun lepas berkata, beliau yakin STLR akan mengalu-alukan peluang untuk berbincang semula dengan Ramli.