Setiausaha agung PAS dipanggil beri keterangan ke SPRM

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan PAS menerima wang berjumlah RM90 juta daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pemimpin PAS itu tiba pada kira-kira 9.20 pagi, menurut sumber SPRM kepada media yang menunggu di luar ibu pejabat SPRM di sini.

Pada 24 Feb lepas, ketua pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull dilaporkan berkata pihaknya setakat ini tidak mengesan sebarang transaksi dana RM90 juta disyaki daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank PAS.

Sebelum ini, beberapa individu dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan tersebut antaranya Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan naib presiden Amanah, Husam Musa.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya pada 6 Ogos 2016 mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu itu timbul semula selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel tersebut pada 1 Feb lepas.