Skim bantu pesara tentera belum ada kata putus, kata Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kementerian belum mempunyai kata putus berhubung skim bantu pesara tentera tidak berpencen, atau Bantuan Bakti Negara.

Ia akan diumumkan selepas ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pertahanan dan mendapat persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kementerian Kewangan.

“Ini yang kita bincang panjang tadi. Keputusan muktamad belum capai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat veteran kebangsaan di Wisma Pertahanan hari ini.

Beliau turut mengumumkan Kementah sedang berbincang mengenai memberi elaun kenangan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang dianggarkan seramai 68,000 penerima.

Bantuan Bakti Negara diperkenalkan bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mula diagihkan pada 2016 pada kadar RM1,000 setahun, dan dinaikkan sebanyak RM200 pada 2017.

Terdapat lebih 60,000 pesara tentera tidak berpencen seluruh negara.

Sebelum ini FMT melaporkan pesara tentera tidak berpencen terkilan kerana tiada lagi skim Bantuan Bakti Negara RM1,200 setahun bawah kerajaan baru.

Rata-rata veteran yang ditemui berkata sebelum ini bayaran dibuat menjelang akhir tahun tetapi sejak kerajaan bertukar tangan, bantuan itu masih samar walaupun aduan pernah dibuat kepada Mohamad.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata isu bantuan melibatkan bekas pesara tentera bukan perkara baru.

Beliau menggesa bekas-bekas tentera supaya menyatukan 140 persatuan veteran bawah satu gabungan untuk memudahkan kerajaan membantu mereka.