Tambah ilmu mengenai tanah adat Orang Asli, SAM ingatkan menteri, pegawai

SM Idris. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan kenyataan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu bahawa aktiviti pembalakan di Kampung Tasik Cunex, Gerik, mematuhi undang-undang sebagai hujah yang banyak kali didengar oleh pertubuhan sivil, sama ada di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa.

“Kita juga mendengar bagaimana anggota eksekutif kanan di Semenanjung Malaysia dengan jahilnya berulang kali menyatakan bahawa hak tanah adat tidak wujud di negeri mereka.

“Ini hanya menunjukkan kefahaman mereka yang cetek tentang undang-undang,” kata presidennya, SM Idris.

Katanya, penggunaan istilah seperti kawasan rayau yang menyakiti masyarakat Orang Asli masih lagi diamalkan pada era Malaysia Baru.

Beban istilah “orang luar” ini menurutnya, memberikan gambaran yang salah seolah-olahnya Orang Asli sekadar “merayau” di kawasan berhutan, tanpa kesedaran tentang hak, perancangan dan strategi.

Konsep kewilayahan katanya, penting dalam pengamalan hak tanah adat. Persempadanan wilayah adat Orang Asli dipatuhi dengan ketat oleh semua komuniti yang berjiran dengan strategi aktiviti pemburuan, pengumpulan hasil hutan dan pertanian dirancang untuk memastikan kelestarian.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Majlis Peguam yang meminta kerajaan persekutuan dan negeri bertindak melindungi hak tanah adat Orang Asli.

Idris berkata, kenyataan Majlis Peguam itu menunjukkan betapa perlunya pembuat dasar melihat undang-undang secara menyeluruh.

“Undang-undang itu bukan hanya meliputi undang-undang tergubal, tetapi ia juga termasuk ‘common law’, adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang dan keputusan mahkamah.

“Malah tugas fidusiari kerajaan dalah untuk melindungi hak tanah adat juga merupakan undang-undang yang termaktub.

“Kepatuhan terhadap undang-undang tergubal tidak melepaskan kerajaan daripada tanggungjawabnya untuk menyelidiki dengan secukupnya tentang kemungkinan wujudnya sebarang pertindihan perundangan dengan hak ‘common law’ komuniti Orang Asli,” katanya.

Idris berkata, pada 2016, SAM menerbitkan laporan bertajuk Pencerobohan Hak Tanah Adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, yang mengandungi 12 kajian kes tentang komuniti Orang Asli yang terjejas oleh kegiatan pembalakan dan perladangan.

Laporan itu katanya, membincangkan tentang ketidakmampuan undang-undang tergubal untuk melindungi sepenuhnya hak tanah adat Orang Asli.

Ia menjelaskan bahawa aktiviti pembalakan, perladangan dan lain-lain kegiatan pengambilan sumber yang berlesen, yang dilakukan berdasarkan undang-undang tergubal, tidak boleh dengan begitu sahaja dianggap telah mencapai kesempurnaan dari segi perundangan.

Katanya, pembalakan yang “sah” boleh sahaja masih lagi menceroboh hutan yang dimiliki secara adat oleh komuniti Orang Asli yang diperolehi secara sah melalui adat resam kaum mereka, dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan diiktiraf oleh lembaga kehakiman.

Pembalakan yang sah boleh sahaja menjadi pembalakan yang memudaratkan, merosakkan hutan dan sumber asli yang dimiliki secara sah oleh Orang Asli, tambahnya.

“Sudah tiba masanya bagi pegawai tertinggi eksekutif kita, sama ada yang dilantik atau dipilih rakyat, untuk melengkapkan pengetahuan mereka tentang maklumat perundangan yang tepat berkenaan dengan hak tanah adat Orang Asli.

“Mereka juga wajib menghentikan penggunaan ‘fiksyen’ perundangan dan istilah yang dianggap kasar oleh budaya masyarakat Orang Asli yang diwarisi daripada kerajaan sebelum ini.

“Mereka mesti mengambil pendekatan dan tindakan yang betul dari segi undang-undang,” katanya.

SAM mendesak kerajaan Perak dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) bertindak melindungi hak tanah adat kampung Orang Asli Tasik Cunex di Gerik, Perak.

Kerajaan persekutuan dan negeri juga katanya, mestilah bertindak, termasuk melaksanakan 18 buah syor Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli yang diterbitkan Suhakam pada 2013 dan menunaikan kandungan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Hak Orang Asal (UNDRIP).