TH tanggung semua subsidi haji, termasuk kes rayuan tahun ini, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.

BANGI: Tabung Haji (TH) akan menanggung semua subsidi jemaah haji muassasah kali pertama, termasuk yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, keputusan lembaga pengarah TH itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan TH bagi tahun 2019.

“Dengan pengumuman terbaru ini, kos tanggungan TH untuk musim haji tahun ini ialah sekitar RM400 juta.

“Pengumuman ini dibuat selepas Lembaga TH hari ini bermesyuarat dan memutuskan keputusan menangung kos subsidi haji,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pondok Peringkat Kebangsaan 2019.

Sebelum ini Mujahid berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram.

Mujahid berkata, perkara itu adalah atas budi bicara Lembaga TH yang akan membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan individu terbabit.

Dalam pada itu Mujahid berkata pengumuman itu menangkis dakwaan mengelirukan yang timbul, terutamanya berhubung isu kos jemaah yang membuat rayuan haji meskipun isu itu masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata pihaknya dan Lembaga TH sentiasa melakukan rundingan mengikut status kewangan TH yang sedang melalui pemulihan.

Katanya, golongan yang membuat rayuan dan layak menerima subsidi termasuk mereka yang merupakan mahram bagi seseorang bakal haji, warga emas berusia 75 ke atas, orang kurang upaya (OKU) dan orang yang baru memeluk Islam.

“Dulu kita tanggung RM350 juta dan untuk tahun ini kita tanggung RM400 juta.

“Jadi kos keseluruhan untuk menunaikan haji sebanyak RM22,900 tetapi mereka hanya bayar RM9,980. Selebihnya kita tanggung,” katanya.