Tidak perlu tambah belanjawan untuk subsidi harga minyak, kata Guan Eng

Lim Guan Eng dan Mujahid Yusuf Rawa hadir ke majlis serahan cek kepada Yayasan Restu bagi pengurusan mencetak dan menyebarkan naskah al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan hari ini berkata, tiada keperluan bagi kerajaan menambah dana dalam belanjawan negara berhubung subsidi harga pasaran minyak.

“Saya rasa tak perlu. Tapi yang lain, cerita lainlah,” kata Lim Guan Eng dalam satu sidang media pada majlis penyerahan cek kepada Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran, di sini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusuf Rawa.

Ketika ditanya, apakah jumlah yang dijangka akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk subsidi jika harga minyak mentah melambung lebih tinggi berbanding sekarang.

Kata Lim, perkara itu akan ditentukan dengan melihat kepada harga semasa bahan api tersebut.

“Ini terpulang kepada harga minyak. Kalau harga minyak rendah tentu subsidi kurang. Tapi kalau naik atau melambung tinggi tentu akan lebih.

“Jadi, ia terpulang pada harga pasaran. Yang penting kita nak kurangkan beban rakyat. Sebab itu Kabinet buat keputusan kurangkan harga had siling untuk RON 95,” katanya.

Semalam media melaporkan, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, tidak wujud sebarang keperluan mendadak untuk melakukan semakan semula Belanjawan 2019 susulan penyusutan harga minyak mentah dunia baru-baru ini.

“Ini bergantung kepada banyak mana penurunan (harga minyak) itu. Namun, kita tidak akan segera mengambil tindakan (semakan semula Belanjawan) kerana harga itu akan naik semula selepas mengalami penurunan.

“Kita hanya perlu bersedia apabila harganya naik,” katanya

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan rasuah dalam projek pembinaan terowong bawah laut di Pulau Pinang, Lim enggan mengulas, sebaliknya berkata, beliau akan menjawabnya esok.

“Saya rasa tanya esok sahajalah. Esok ada majlis lagi,” katanya.

Sebelum ini, FMT melaporkan beberapa pemimpin politik DAP, termasuk Lim Guan Eng dinamakan dalam satu kertas siasatan yang didakwa milik Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Kertas siasatan tersebut didedahkan oleh sebuah laman web baru-baru ini.

Semalam, setiausaha agung Umno, Annuar Musa mendesak Lim membuat laporan polis berhubung pendedahan kertas siasatan didakwa milik SPRM itu.

Katanya, pihak berkuasa harus menyiasat bagaimana dokumen itu boleh diperolehi oleh laman web brkenaan.

Beliau turut mendesak Lim dan pemimpin DAP yang dinamakan dalam laporan itu mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali laman web tersebut.

FMT sudah menghubungi SPRM untuk mengetahui kesahihan kertas siasatan itu, namun belum ada maklum balas daripada agensi anti-rasuah itu.