Tutup ruang udara: Rakyat Malaysia di Pakistan diminta hubungi Suruhanjaya Tinggi

Ruang udara Pakistan ditutup kepada semua penerbangan komersial bermula Rabu berikutan ketegangan kian meruncing antara Islamabad dan New Delhi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad (STMI) pada Khamis meminta rakyat Malaysia yang terkandas di Pakistan susulan penutupan ruang udara negara itu, segera menghubungi pihak STMI.

Dalam pengumuman di laman Facebooknya hari ini, STMI meminta rakyat Malaysia menghubungi pegawai bertugas di talian +923000808549.

“Ini adalah bagi tujuan pengemaskinian rekod semasa STMI mengenai keberadaan warga negara Malaysia di Pakistan, serta penyediaan bantuan khidmat konsular sekiranya diperlukan,” katanya.

Antara maklumat yang perlu disediakan termasuk alamat penginapan di Pakistan dan kediaman di Malaysia, nama dan nombor telefon saudara terdekat serta maklumat jadual penerbangan yang tertunda.

Menurut laporan media antarabangsa, ruang udara Pakistan terus ditutup untuk hari ke-2 ketika ketegangan kian meruncing di antara Islamabad dan New Delhi ekoran tindakan ketenteraan yang diambil kedua-dua buah negara.

Ruang udara Pakistan ditutup kepada semua penerbangan komersial bermula Rabu berikutan ketegangan itu yang memaksa banyak penerbangan dibatalkan dan dilencongkan.