Undi tak percaya pada PM agenda politik pembangkang, kata menteri

Liew Vui Keong yakin ahli Parlimen PH termasuk Warisan yang berjumlah 135 orang akan terus memberi sokongan penuh kepada Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menyifatkan ura-ura akan ada undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sesi Parlimen yang akan bermula 11 Mac ini, sebagai agenda politik pembangkang yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

Menurut beliau, senarai “101 ahli Parlimen yang menyokong perdana menteri meletak jawatan” yang tular di media sosial itu juga hanya satu spekulasi untuk mengelirukan rakyat serta menjatuhkan moral dan imej kerajaan Pakatan Harapan.

Liew yang dihubungi Bernama berkata beliau yakin tiada usul undi tidak percaya yang akan dikemukakan mana-mana pihak dalam Dewan Rakyat terhadap Mahathir yang diberikan mandat sepenuhnya oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu untuk menerajui kerajaan PH.

“Saya yakin semua ahli Parlimen daripada PH termasuk ahli Parlimen Warisan yang berjumlah 135 orang daripada keseluruhan 222 ahli Parlimen, akan terus memberi sokongan penuh kepada Mahathir sebagai perdana menteri kita,” katanya.

Baru-baru ini tular senarai 101 ahli Parlimen dari seluruh negeri yang didakwa akan menyokong desakan undi tidak percaya terhadap Mahathir.

Menjelaskan mengenai usul tidak percaya, Liew yang merupakan ahli Parlimen Batu Sapi berkata sekiranya ada yang mengemukakan usul berkenaan, maka terpulang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan sama ada usul itu diterima atau tidak untuk dibahaskan dalam Dewan.

“Sekiranya usul tersebut diterima oleh pihak Parlimen mengikut peruntukan dalam Standing Orders (Peraturan Mesyuarat) Dewan Rakyat, speaker akan menyuruh ahli Parlimen untuk berbahas dan selepas itu undi,” katanya.

Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 (4) memperuntukkan, jika seseorang perdana menteri itu tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada ahli Parlimen, beliau perlu meletak jawatan, melainkan jika atas permintaannya, Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat akan bersidang untuk pertama kali tahun ini bermula 11 Mac sehingga 11 April.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah dijadualkan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 pada 11 Mac ini.