Usir penghuni Taman Manggis: Kena tegas untuk adil, kata kerajaan

Exco Jagdeep Singh Deo berkata permintaan untuk pangsapuri PPR Taman Manggis tinggi dengan senarai menunggu sejak 11 tahun lalu.

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri berkata pengusiran penyewa 22 unit pangsapuri untuk rakyat miskin semalam adalah tindakan saat akhir, selepas penghuni diberi masa cukup untuk merayu atau dapatkan tempat tinggal baru.

Exco Jagdeep Singh Deo berkata mereka yang dikeluarkan dari pangsapuri projek perumahan rakyat (PPR) Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin didapati tidak layak sewa di situ.

Beliau dalam kenyataan berkata tindakan pengusiran diambil kerana penghuni tersebut mempunyai pendapatan tinggi, gagal bayar sewa dan yuran penyelenggaraan, sewakan kepada orang lain atau berkahwin dengan warga asing.

Sejak 2016, Jagdeep mempengerusikan jawatankuasa yang mengendalikan 839 kes seperti itu dengan tindakan diambil ke atas 246 kes.

Bakinya diberi tempoh yang sangat panjang untuk mengosongkan tempat tinggal.

Katanya, mereka yang bermasalah membayar sewa dan penyelenggaraan diberi kelonggaran untuk membayar secara ansuran tanpa dikenakan tindakan lain.

Sebelum 2016, katanya, rayuan tidak dilayan.

“Tindakan mengusir dibuat sebagai tindakan terakhir. Mereka yang didapati berterusan mempunyai tunggakan walaupun kita telah bantu atau yang tidak layak atas alasan-alasan lain, tindakan akan diambil.

“Kita perlu tegas untuk berlaku adil kepada mereka yang dalam senarai menunggu selama ini,” katanya.

Menurut Jagdeep, permintaan ke atas flat yang disewakan RM100 sebulan itu tinggi, dengan senarai menunggu sejak 11 tahun lalu untuk pangsapuri PPR Taman Manggis.

Katanya, terdapat 1,137 permohonan di seluruh negeri, 494 daripadanya untuk pangsapuri PPR Taman Manggis.

Mengenai 22 kes pengusiran di Taman Manggis, katanya penghuni-penghuni diberi hingga 6 Mac depan untuk mengosongkannya.

“Mereka yang rasa ada alasan munasabah untuk menafikan mereka tidak layak sewa di situ boleh kemukakan rayuan kepada Jabatan Perumahan sebelum tarikh tersebut untuk kita timbang,” katanya.

Semalam, jabatan itu dilaporkan mengusir penghuni dari 17 unit PPR di Taman Manggis.

Ramai yang diusir terpinga-pinga dan mendakwa tidak diberi waktu yang cukup.

Seorang wanita mendakwa dia diusir secara “zalim” kerana hanya diberi masa 10 minit untuk mengeluarkan barang-barang sebelum pintu depan dikunci.

Lewat malam tadi, ADUN Komtar Teh Lai Heng berunding dengan Jabatan Perumahan untuk membolehkan penghuni-penghuni terlibat tinggal di unit-unit itu hingga minggu depan.

Pulau Pinang yang ada 698 unit PPR, dengan 301 lagi dalam pembinaan, adalah negeri yang mempunyai jumlah unit PPR paling rendah di negara ini.

Kerajaan negeri menawarkan sebidang tanah di Kota Giam, Jelutong untuk pembinaan lebih banyak unit PPR tetapi belum menerima respons.