Wah, bukan main bangga panggil Najib ‘Bossku’, kata Dr M

Dr Mahathir mengangkat tangan calon PH Muhammad Aiman Zainali di pentas ceramah di Taman Pelangi malam tadi.

SEMENYIH: Tinggal beberapa hari menuju hari pengundian PRK DUN Semenyih, Dr Mahathir Mohamad menghalakan kritikannya terhadap para penyokong Najib Razak, yang kembali popular meskipun berdepan berpuluh pertuduhan di mahkamah.

Pengerusi Pakatan Harapan menegur mereka yang masih setia dengan “Bossku”, gelaran yang dipakaikan Najib ketika ini, yang katanya terpalit dengan dakwaan salahlaku.

“‘Bossku’ bukan sebarang bos. Wah, bukan main lagi bangga, itulah ‘Bossku’. Betul tak malu, memang tak malu langsung. Tersenyum dipanggil ‘bossku’.

“Saya pun ada salah tapi saya tak salah tolak Najib,” katanya di satu ceramah di Taman Pelangi malam tadi.

Hadir sama Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Mukhriz Mahathir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Seramai 3,000 hadirin memenuhi kawasan ceramah sejak 8.00 malam.

Dr Mahathir melambai kepada 3,000 hadirin di satu ceramah di Taman Pelangi malam tadi.

Dr Mahathir berkata penduduk Semenyih tidak akan rugi jika menyokong calonnnya, Mohammad Aiman Zainali yang didukung parti kerajaan.

“Katakan selepas ini beliau (Aiman) menang dan beliau berpendapat Semenyih memerlukan sebuah hospital. Kita akan minta kepada menteri. Kalau Menteri Kewangan Lim Guan Eng tak beri, kita ketuk dia.

“Sebab itu penting pilih calon kerajaan,” katanya disambut sorakan hadirin.

Sebelum ini, Aiman menjadikan pembinaan Hospital Semenyih sebagai agenda utamanya jika berjaya memenangi kerusi DUN itu.

Bagaimanapun, cadangan beliau pernah dipertikaikan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad yang mengatakan kawasan tersebut tidak sesuai untuk dibina sebuah lagi hospital.

Sebaliknya, sebuah klinik kesihatan lebih sesuai untuk dibina.