AS tawar RM4 juta cari anak lelaki Osama bin Laden

Menurut Jabatan Negara AS, anak lelaki Osama bin Laden, Hamza bin Laden kini muncul sebagai pemimpin dalam rangkaian Al-Qaeda.

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$1 juta (RM4.06 juta) bagi maklumat mengenai anak lelaki bekas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, kerana beliau dilihat sebagai sebagai “wajah baru” ekstremisme.

Lokasi Hamza bin Laden, digelar ‘Putera Mahkota Jihad’, menjadi spekulasi sejak beberapa tahun dengan laporan menyebut beliau tinggal di Pakistan, Afghanistan, Syria atau dikenakan tahanan dalam rumah di Iran.

“Hamza bin Laden ialah anak lelaki Osama dan kini muncul sebagai pemimpin dalam rangkaian Al-Qaeda,” kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.

Jabatan Negara berkata, ia menawarkan ganjaran AS$1 juta bagi apa-apa maklumat yang membawa kepada lokasi Hamza di mana-mana negara.

Menurut AS, Hamza, 30, mengancam menyerang negara itu bagi membalas dendam atas pembunuhan bapanya pada 2011, yang ketika itu bersembunyi di bandar Abottabad, Pakistan, oleh tentera khas AS.

Agensi perisikan AS melihat Hamza sebagai pengganti kepada bapanya yang berperanan besar dalam jihad global, terutama apabila militan Daesh semakin hampir menemui kekalahan di Syria.

Pada 2015, Hamza menyiarkan mesej audio menggesa pejuang di Syria bersatu, dengan mendakwa perang di negara itu akan membuka jalan kepada pembebasan Palestin.

Beliau juga sebelum itu menggesa kepemimpinan Arab Saudi ditumbangkan.